Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kalau rasa tak dilayan elok, baliklah ke negara asal'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tindakan kerajaan Malaysia menahan pelarian Rohingya di depot tahanan imigresen bagi tempoh masa yang lama adalah untuk menjadi contoh kepada pelarian lain supaya tidak memasuki negara ini secara haram, kata Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin.

Hamzah menyangkal dakwaan bahawa kerajaan memberi layanan buruk terhadap pelarian sehingga menyebabkan seramai 528 etnik Rohingya melarikan diri dari depot tahanan imigresen Sungai Bakap baru-baru ini.

Sebaliknya katanya, Malaysia telah memberi layanan yang baik terhadap pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan dengan menyediakan makanan dan tempat tinggal kepada mereka.

"Tindakan Malaysia tidak membebaskan mereka ialah untuk menjadi contoh kepada pelarian yang lain supaya tidak masuk ke negara ini dengan jalan yang salah.

“Jadi kita letakkan dalam penjara sampai satu tempoh sehingga mereka jemu duduk dalam tahanan.

“Jadi kalau rasa nak bebas, tak perlulah lagi datang ke Malaysia dan kalau mereka rasa mereka tidak dilayan dengan elok, sepatutnya mereka baliklah ke negara mereka,” kata Hamzah seperti dilapor Utusan Malaysia.

Hamzah sebelum ini mengesahkan kesemua 528 tahanan yang melarikan diri baru-baru ini merupakan pelarian Rohingya yang ditahan sejak 2020.

Setakat semalam, dilaporkan seramai 432 daripada tahanan itu telah ditahan semula, manakala 96 masih bebas.

Undang-undang imigresen Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) sebagai respons terhadap kejadian itu berkata agensi itu tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa imigresen 'untuk mengakses pusat tahanan imigresen di Malaysia sejak Ogos 2019.

"Ini malangnya telah menghalang UNHCR untuk berjumpa orang yang ditahan untuk menentukan mereka yang memerlukan perlindungan antarabangsa dan menyokong pembebasan mereka," kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Mengulas kenyataan Hamzah, pengarah Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira menyifatkan situasi yang dihadapi oleh etnik Rohingya sebagai "penyalahgunaan prinsip keadilan asasi".

“Adalah fakta yang diketahui bahawa Myanmar sedang mengalami keganasan politik terutamanya di kalangan masyarakat Rohingya.

"Jika mereka datang ke sini, mereka mesti diberi peluang untuk menjalani proses sewajarnya bagi pencari suaka mengikut prosedur UNHCR," kata Pereira kepada Malaysiakini.

"Mereka tidak berada di sini atas pilihan dan benar-benar tidak boleh terus tinggal di Myanmar. Ini tidak menjadikan Malaysia terlihat bagus sebagai ahli UNHCR," katanya.