Skip to main
Logo Malaysiakini

Bicara tatatertib terhadap Tee keputusan bersama, kata SU Agung MCA

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon berkata perbicaraan tatatertib terhadap Ketua MCA bahagian Pontian, Tee Siew Kong dan Ketua MCA bahagian Ledang, Goh Tee Tee merupakan keputusan bersama yang dibuat dalam parti itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Chong berkata kedua-duanya sepatutnya tahu bahawa keputusan MCA dibuat secara kolektif.

“Dari dulu hingga sekarang, Jawatankuasa Pusat MCA sentiasa melaksanakan prinsip kepimpinan dalam membuat keputusan kolektif dan tanggungjawab kolektif.

“Sebagai pemimpin kanan akar umbi, Tee dan Goh pastinya sudah biasa dengan amalan ini.

“Oleh itu, adalah tidak bertanggungjawab sama sekali mereka menuding jari kepada Presiden MCA.

“Lebih penting, sebagai pemimpin kanan, kedua-dua pemimpin Bahagian ini juga amat memahami bahawa semua ahli parti, tanpa mengira kedudukan parti, mesti mematuhi disiplin parti, dan menjunjung etika dan imej parti sebagai tanggungjawab utama mereka, dan bukannya mengulangi empat kali di khalayak ramai dan menyalahkan pucuk pimpinan parti,” katanya.

Chong berkata, Goh dan Tee cuba "mengganggu pendapat umum" dan memberikan tekanan kepada lembaga disiplin, sementara menunggu keputusan siasatan mereka.

“Tindakan mumudaratkan sebegini adalah satu tindakan yang tidak adil terhadap majoriti ahli parti akar umbi.

“Justeru, saya menggesa kedua-dua pemimpin supaya mengawal diri dan menunggu keputusan Jawatankuasa Disiplin,” katanya.

Semalam Tee yang merupakan bekas Adun Pulai Sebatang berkata ini adalah kali kedua dia menghadap lembaga disiplin selepas aduan dibuat presiden MCA.

Tee berdepan tindakan tatatertib selepas menuduh kepimpinan MCA yang diterajui Wee, sengaja melepaskan kerusi Pulai Sebatang supaya pesaingnya dalam parti itu tiada kerusi ditandingi.

Tee sebelum ini bertanding di Pulai Sebatang pada setiap pilihan raya sejak 2004.

Dia yang sealiran dengan bekas presiden MCA Chua Soi Lek, mendakwa Wee cuba untuk menyingkirkannya.

Wee bagaimanapun menafikan cuba menyingkirkan saingannya dalam parti itu.

Katanya kemarahan Tee berpunca daripada rasa kecewa kerana tidak dapat bertanding dalam pilihan raya Johor bulan lepas.