Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar: SPRM siasat hakim langgar prinsip pemisahan kuasa

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengkritik SPRM kerana memulakan siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Presiden PKR itu menyiftatkan tindakan SPRM itu telah melanggar prinsip pemisahan kuasa.

"Saya ambil maklum isu melibatkan Mohd Nazlan terkait dakwaan wang RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

"Bagaimanapun, saya ingin tegaskan institusi kehakiman mempunyai badan sendiri yang menyelia dan mengawal integriti para hakim.

"Ini ditetapkan untuk memastikan agar wujud pembahagian kuasa yang jelas di dalam sistem yang ada. Justeru campur tangan SPRM melanggar prinsip ini," katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan siasatan terhadap Nazlan telah dimulakan, yang menurutnya adalah prosedur biasa setiap kali laporan dibuat.

Mohd Nazlan

Ia berhubung dakwaan portal Malaysia Today milik blogger Raja Petra Kamaruddin baru-baru ini mendakwa Nazlan mempunyai "kekayaan yang tidak dapat dijelaskan sumbernya". Nazlan telah membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.

Nazlan adalah hakim yang menjatuhkan sabitan bersalah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International.

Dalam pada itu, Anwar berkata dia khuatir terhadap kemungkinan cubaan untuk campur tangan dalam bidang kehakiman.

"Integriti dan kebebasan badan kehakiman kelihatan beransur pulih akibat daripada kecelaruan dan ketempangan berdekad lamanya tanpa ada usaha serius pemerintah untuk membetulkannya.

"Adalah dikhuatiri hebahan sebegini akan dianggap sebagai tekanan dan campur tangan politik," katanya lagi.