Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes Bella: NGO gesa tambah kakitangan JKM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Bantu-Bantu Malaysia mencadangkan penambahan kakitangan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai salah satu langkah mencegah penderaan terhadap kanak-kanak.

NGO itu berkata demikian berikutan kes penderaan terhadap remaja down sindrom yang dikenali sebagai Bella ketika ditempatkan di sebuah rumah kebajikan.

Pengasas Bantu-Bantu Malaysia, Dian Lee berkata sebagai contoh, di bandar-bandar besar, terdapat pejabat JKM yang hanya menempatkan lima pegawai khusus yang melaksanakan tugas khidmat masyarakat dan penguatkuasaan terhadap Pusat Jagaan dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska).

"Bebanan seumpama ini tidak seharusnya dibiarkan berterusan dan kerajaan perlu ambil langkah segera sebagai langkah menangani pelbagai isu berkaitan kanak-kanak khususnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Minggu lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim megemukakan tiga cadangan kepada kerajaan bagi memastikan kes penderaan seperti kes Bella tidak lagi berulang.

Beliau mencadangkan agar kerajaan menambah baik undang-undang seperti Akta Kanak-Kanak 2001, menggesa JKM mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang diluluskan serta menutup segera pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan JKM atau beroperasi secara haram

Lee, yang juga ahli Ikatan Demokratik Bersatu Malaysia (Muda), menjunjung kasih atas keprihatian Tunku Ismail dan menggesa agar pusat sehenti bagi pendaftaran Taska diwujudkan.

"Proses pendaftaran kini melibatkan beberapa agensi yang berbeza. Proses pendaftaran perlu dipermudahkan untuk mengalakkan pendaftaran. Kini hanya 460 Taska di rumah telah mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Tambahnya, JKM juga perlu menapis dan memeriksa latar belakang pemilik pusat asuhan atau pusat kebajikan kanak-kanak dengan pihak berkuasa lain bagi memastikan mereka yang benar-benar layak dan tiada rekod berkaitan jenayah.

Selain itu Lee juga menggesa kerajaan menambahbaik khidmat Talian Kasih 15999 dengan turut menyediakan pakar kanak-kanak serta pakar psikologi.

Katanya, berdasarkan laporan pada 2020, terdapat 25 kakitangan sahaja mengendalikan talian khusus tersebut, manakala bagi tahun 2020 iaitu bulan Januari sehingga 26 November 2020, talian berkenaan menerima hampir 90,000 panggilan atau purata 272 panggilan sehari.

"Khidmat Talian Kasih ini perlu diperluaskan ke seluruh negara secara berfasa dengan mewujudkan stesen-stesen tempatan bagi membolehkan semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak memiliki khidmat lebih efisien bagi Talian Kasih ini, sekali gus dapat menggerakkan agensi berkaitan atau penguatkuasaan,” katanya.

Kes Bella tular di media sosial tahun lepas selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda.

Susulan itu, pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Wanita itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.