Skip to main
Logo Malaysiakini

Terkesan Langkah Sheraton, doktor tanding ketua cabang PKR

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang doktor perubatan bakal mencabar Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow Hsiad Hui bagi jawatan ketua cabang PKR Hulu Selangor dalam pemilihan parti yang bakal diadakan.

Pengasas Kumpulan SP Care, Dr Sathia Prakash Nadarajah (gambar utama) berkata dia seorang ahli biasa tetapi membuat keputusan untuk bertanding ekoran terkesan dengan 'Langkah Sheraton' pada 2020.

"Saya ahli PKR sejak 2008, berprofil rendah dan tidak pernah berniat untuk masuk gelanggang politik secara aktif. Malah, saya pernah sumbang RM50,000 kepada Tabung Pakatan Harapan. Namun, pengkhianatan terhadap mandat rakyat melalui Langkah Sheraton memberi kesan mendalam kepada saya untuk menceburi politik.

"Ia bukan saja membawa kepada tumbangnya kerajaan PH tetapi menjejaskan kepercayaan saya dan juga penyokong lain kepada segelintir wakil rakyat," katanya dalam sidang media di Hulu Selangor hari ini.

Katanya lagi, ekoran rasa "muak" dengan permainan politik segelintir wakil rakyat yang dipercayai sebelum ini, dia mahu memainkan peranan lebih aktif dalam PKR.

Turut menyertai sidang media adalah pegawai khas Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad yang akan bergandingan dengan Sathia Prakash untuk jawatan timbalan ketua cabang.

Selain Leow dan Sathia, seorang lagi yang akan bertanding jawatan tersebut di cabang yang memiliki lebih 20,000 anggota itu adalah ahli perniagaan, Azizan Zakaria.

Bekas setiausaha Wan Azizah Di Bangi

Di cabang Bangi pula, bekas setiausaha politik kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail, Romli Ishak bakal berdepan pertembungan lima penjuru untuk jawatan ketua cabang.

Romli akan dicabar oleh empat calon lain iaitu Yap Wee Leong, Saiful Azlan Zainal, G Balamurali dan J Jayakanthan.

Romli Ishak

Untuk rekod, pada masa ini tiada ketua cabang di situ selepas penyandangnya dipecat parti pada dua tahun lalu susulan Langkah Sheraton.

"Sebelum ini saya pernah bertanding di peringkat pusat, sebagai pengerusi tetap AMK pada tahun 2001. Saya menang dan memegang jawatan itu sehingga 2007.

"Selain daripada itu saya tidak tanding mana-mana jawatan. Kali ini saya bertanding kerana saya melihat parti telah mula diresapi oleh unsur-unsur yang tidak baik.

"Saya rasa perlu untuk membawa budaya politik yang kita inginkan dalam parti berasaskan deklarasi Permatang Pauh dan pastikan kejujuran dan keikhlasan dalam parti," katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, Langkah Sheraton memberi pengajaran berharga kepada ahli PKR untuk memilih barisan pimpinan yang benar-benar berjuang untuk parti.

Anak Xavier Jayakumar di Kota Raja

Sementara itu, anak bekas naib presiden Dr Xavier Jayakumar, Sangetha Jayakumar akan mencabar penyandang ketua cabang Kota Raja, Gunarajah George yang juga Adun Sentosa, dalam pertembungan satu lawan satu.

"Saya menawarkan diri bertanding. Ini bukan keputusan yang mudah untuk dibuat. Seperti kita sedia maklum, Cabang Kota Raja merupakan antara cabang yang ada paling ramai ahli.

Sangheta Jayakumar

"Namun, saya tetap dengan pendirian saya bahawa perubahan itu memerlukan keberanian. Maka saya tampil bagi membina jalan bagi wanita-wanita lain," kata Sangetha.

Xavier merupakan ketua cabang Kota Raja sehingga 2018 sebelum digantikan Gunarajah.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu sememangnya dilihat pemimpin yang menyokong Azmin Ali dan telah keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas pada Mac 2021.

Namun, Sangetha yang juga naib ketua Wanita PKR mengambil keputusan untuk tidak mengikut jejak langkah bapanya itu.