Skip to main
Logo Malaysiakini

Rusuhan di kem Sungai Bakap: Suhakam gesa tubuh siasatan tanpa KDN

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Susulan enam pelarian Rohingya meninggal dunia akibat rusuhan dan tahanan melarikan diri di pusat tahanan imigresen, di Sungai Bakap, Pulau Pinang, baru-baru ini, Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suhakam, Prof Noor Aziah Mohd Awal menggesa satu badan bebas ditubuhkan.

Namun, katanya, badan bebas itu perlu tanpa sebarang pembabitan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyiasat insiden berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, dia menzahirkan rasa sedih kerana dua kanak-kanak dari Myanmar itu adalah antara yang terbunuh ketika cuba menyeberangi lebuh raya semasa 542 tahanan melarikan diri dari depot imigresen di Sungai Bakap di Pulau Pinang.

"Menubuhkan badan bebas yang terdiri daripada wakil-wakil selain daripada Kementerian Dalam Negeri bagi menyiasat kejadian tersebut.

"Berdasarkan pemerhatian CC semasa lawatan pemantauannya di pusat tahanan imigresen di Lenggeng, depot didapati sesak dengan tahanan, dan di Lenggeng, Langkawi dan Belantik, depot didapati kekurangan kakitangan," katanya dalam kenyataan itu.

Prof Noor Aziah Mohd Awal, Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suhakam

Noor Aziah berkata, meskipun kebanyakan tahanan pendatang dihantar pulang ke negara asal melalui campur tangan kedutaan negara masing-masing, pelarian Rohingya di Malaysia tidak dapat pulang ke Myanmar berdasarkan undang-undang.

"Prinsip non-refoulement memberi jaminan bahawa tiada sesiapa harus dihantar pulang ke negara asal mereka jika mereka akan mengalami penindasan," katanya.

Noor Aziah mengingatkan kerajaan bahawa Malaysia adalah pihak kepada Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) 1989.

"Perkara 22 CRC menyatakan bahawa negara pihak harus memastikan kanak-kanak yang mencari status pelarian, atau kanak-kanak yang telah disahkan sebagai pelarian hendaklah diberikan perlindungan dan bantuan kemanusiaan yang sewajarnya.

"Di samping itu, kanak-kanak pencari suaka atau yang telah diberikan status pelarian berhak untuk mendapat hak mereka di bawah empat prinsip utama CRC yang menyatakan bahawa kanak-kanak tidak boleh didiskriminasi, perlu dilayan dengan kemanusiaan dan rasa hormat, suara mereka harus didengari dan kepentingan terbaik kanak-kanak harus diberi keutamaan," tambahnya.

Justeru, Noor Aziah menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan UNHCR mengeluarkan kad UNHCR kepada semua pelarian Rohingya, khususnya mereka yang terlibat dalam rusuhan itu.

"Program penempatan semula UNHCR dicadangkan untuk mengutamakan pelarian Rohingya dalam aspirasi ke arah penyelesaian jangka panjang, dalam bentuk penempatan semula ke negara ketiga," katanya.

Noor Aziah meminta layanan yang lebih belas kasihan termasuk tidak menghukum mereka yang ditahan semula berikutan kejadian itu atau untuk menimbulkan ketakutan atau kebencian dalam kalangan penduduk setempat terhadap Rohingya yang masih bebas.

"Melibatkan kanak-kanak Rohingya dalam projek rintis alternatif kepada penahanan kerana kanak-kanak ini mempunyai hak untuk hidup dalam persekitaran yang lebih selamat dan kondusif.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dengan tegas, mengatakan bahawa pihak berkuasa meletakkan pelarian yang ditangkap di bawah tahanan yang lama di depoh imigresen supaya menjadi "pengajaran" kepada pendatang lain untuk tidak memasuki negara ini secara haram.

Hamzah menegaskan Malaysia melayan pelarian dengan baik dalam semangat kemanusiaan dan menyediakan makanan dan tempat tinggal, dan mereka boleh "meninggalkan negara" jika tidak berpuas hati layanan di sini.