Skip to main
Logo Malaysiakini

MEF anggap adil potong gaji, elaun bekerja dari rumah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berpendapat adalah adil bagi majikan untuk mengurangkan gaji bagi pekerja yang menjalankan tugas dari rumah, termasuk mengurangkan elaun pengangkutan.

Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata pekerja kemudiannya boleh memilih sama ada untuk kembali ke tempat kerja untuk menikmati elaun tersebut atau terus bekerja dari rumah.

Bagaimanapun, katanya, syarikat mesti menyediakan pekerja yang bekerja dari rumah dengan peralatan yang diperlukan termasuk sambungan internet.

Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif MEF

“Terdapat pelbagai pandangan jika mereka yang bekerja dari rumah perlu dibayar lebih rendah tetapi kebanyakan syarikat mengatakan jika ada pemotongan, ia tidak sepatutnya besar, iaitu antara 10 hingga 12 peratus.

“Ini disebabkan pelbagai faktor termasuk ada syarikat yang membayar elaun pengangkutan.

"Jadi elaun pengangkutan tidak sepatutnya diteruskan jika pekerja bekerja dari rumah. Sesetengah pekerja mungkin memilih gaji yang lebih rendah berbanding berulang-alik ke tempat kerja...," katanya yang dipetik oleh Astro Awani semalam.

Shamsuddin berkata semakan MEF ke atas syarikat mendapati kebanyakannya tidak memilih kerja dari rumah atau pengaturan kerja hibrid dengan pekerja hadir di tempat kerja beberapa hari dalam seminggu.

Dia menambah bahawa MEF percaya pekerja boleh terus produktif atau lebih produktif semasa bekerja dari rumah kerana mereka tidak perlu menghadapi tekanan berulang-alik.

Pandangannya dibuat ketika Malaysia bergerak ke arah fasa endemik Covid-19, mendorong lebih banyak syarikat untuk menamatkan pengaturan kerja dari rumah.

Menurut laman web penyenaraian pekerjaan Jobstreet, 67 peratus syarikat Malaysia membenarkan kakitangan bekerja dari rumah semasa tempoh perintah kawalan pergerkan (PKP) Covid-19.

Berikutan itu, 27 peratus pegawai sumber manusia yang ditinjau berkata mereka terus menyokong kerja dari rumah manakala 30 peratus pula mengesyorkan jumlah masa yang berkurangan untuk bekerja dari rumah.

Tinjauan itu juga mendapati bahawa syarikat yang lebih besar dan kukuh serta mereka yang mempunyai pekerja bergaji tinggi lebih terbuka untuk membenarkan lebih banyak waktu pekerja bekerja dari rumah.

Ia menambah 48 peratus majikan yang ditinjau memetik pengurangan produktiviti daripada kakitangan apabila bekerja dari rumah.