Skip to main
Logo Malaysiakini

Lim: Kenapa Muhyiddin membisu dengan 'dwistandard' SPRM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi DAP Lim Guan Eng mencabar Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin agar bersuara terhadap tindakan SPRM yang menurutnya mengamalkan dwistandard.

Lim berkata keputusan SPRM untuk menyiasat hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung dakwaan yang tidak dibuktikan adalah sangat berbeza dengan keputusan suruhanjaya itu untuk tidak menyiasat isu pemilikan saham ketua pesuruhjayanya Azam Baki.

“Tiada pemimpin kerajaan bersuara menentang dwistandard yang diamalkan SPRM, terutama bekas perdana menteri Muhyddin yang mendakwa dirinya penghalang kleptokrat daripada kembali berkuasa.

"Kenapa Muhyiddin masih diam?" soal Lim dalam kenyataan hari ini.

Sebelum letak jawatan pada Ogos tahun lalu, Muhyiddin dalam ucapan yang disiarkan di televisyen berkata dia tidak akan bekerjasama dengan kleptokrat yang "menunggu untuk dibebaskan oleh mahkamah".

Tindakan SPRM sekali lagi mengundang perhatian setelah Azam mengesahkan suruhanjaya itu sudah memulakan siasatan terhadap Nazlan.

Mohd Nazlan

Ini selepas Malaysia Today milik blogger Raja Petra Kamaruddin sebelum ini mendakwa dia telah pun dalam siasatan polis berhubung RM1,036,127.40 yang didakwa dimasukkan ke dalam akaunnya.

Ini didakwa berlaku semasa Nazlan menjadi ketua korporat dan perundangan dan naib presiden eksekutif Maybank.

Azam Baki

Pada 2015, dia dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman dan kemudian sebagai hakim mahkamah tinggi pada 2017.

Nazlan kemudian membuat laporan polis berhubung artikel itu.

Kes yang dikendalikanya yang mendapat perhatian ialah perbicaraan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa terhadap bekas perdana menteri Najib Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

Dia mensabitkan Najib dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan dan hukuman itu dan Najib kini dalam proses rayuan di Mahkamah Persekutuan.