Skip to main
Logo Malaysiakini

Ibu Nagaenthran buat rayuan terakhir 2 hari sebelum hukuman

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ibu kepada Nagaenthran K Dharmalingam, warga Malaysia yang sedang menunggu hukuman gantung di Singapura, memfailkan rayuan terakhir di Mahkamah Rayuan Singapura untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Perkara itu dimaklumkan oleh koordinator Lawyers for Liberty Zaid Malek, yang berkata rayuan itu akan didengar pada pukul 2.30 petang esok, sehari sebelum hukumannya dijadual dilaksanakan.

Malek berkata, Panchalai Supermaniam secara peribadi memfailkan permohonan itu dengan bantuan rakan dan aktivis, setelah gagal mendapatkan khidmat peguam di Singapura.

“Sukar untuk mendapatkan khidmat peguam Singapura untuk tindakan undang-undang seperti ini kerana peguam sentiasa dihukum dan dikenakan denda berat oleh Pejabat Peguam Negara dan kehakiman kerana berbuat demikian, menyebabkan Panchalai terpaksa memfailkan kesnya sendiri di pejabat pendaftar mahkamah.

“Asas tindakan undang-undang adalah hakim Sundaresh Menon yang mengetepikan rayuan Nagaenthran juga merupakan AG yang mendakwa dia. Ini jelas penafian perbicaraan yang saksama dan tidak pernah didengar dalam sistem kehakiman Komanwel,” kata Zaid dalam kenyataan.

Katanya lagi, Panchalai juga tidak akan diwakili dalam pendengaran esok.

Terdahulu, salah seorang peguam Nagaenthran, N Surendran mendakwa ada konflik kepentingan melibatkan ketua hakim Sundaresh Menon.

Dalam surat yang dialamatkan kepada Peguam Negara Singapura Lucien Wong, yang dilihat oleh Malaysiakini, Surendran mendakwa Nagaenthran dinafikan hak untuk perbicaraan yang adil, menurut Perkara 9(1) Perlembagaan Singapura kerana konflik kepentingan yang melibatkan Menon.

Ketika Nagaenthran disabitkan bersalah pada 2010 dan hukumannya diputuskan pada 2011, Sundaresh merupakan peguam negara republik itu.

Nagaentran, warga Malaysia berusia 33 tahun yang mengalami masalah mental, dijatuhi hukuman mati pada 2011 kerana mengedar 42.72g diamorphine ke Singapura. Heroin diperbuat daripada diamorphine.

[Baca berita asal]