Skip to main
Logo Malaysiakini

Musk dapat persetujuan kuasai Twitter dengan nilai RM191.5b

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bilionair terkenal, Elon Musk, berjaya mendapatkan penguasaan penuh ke atas Twitter Inc apabila tawaran belian tunainya dipersetujui pemegang saham media sosial berkenaan.

Laporan agensi berita antarabangsa menyatakan, Musk menguasai Twitter dengan nilai AS$44 bilion (RM191.55 bilion pada kadar tukaran asing hari ini).

Sehingga minggu lalu belum ada kepastian kedua-dua pihak akan mencapai titik persefahaman apabila perbincangan yang berlangsung gagal mencapai persefahaman.

Bagaimanapun menurut Reuters perbincangan berkenaan digiatkan pada hujung minggu lalu apabila Musk 'memikat' pemegang saham Twitter dengan butiran tawarannya.

Di bawah tekanan, lapor agensi berita berkenaan, Twitter mula berunding dengan Musk untuk melepaskan syarikat berkenaan pada harga AS$54.20 sesaham seperti dicadangkan orang terkaya di dunia itu.

"Kebebasan bersuara adalah asas kepada amalan demokrasi yang berfungsi, dan Twitter ialah 'dataran bandar digital' yang menyediakan wadah untuk perbahasan hal-hal penting masa depan umat manusia," kata Musk dalam kenyataan.

Twitter - yang kini berusia 16 tahun - merupakan salah satu wadah paling berpengaruh di dunia dan sama seperti media sosial lain, berdepan dengan pelbagai cabaran.

Semalam Musk memberitahu lebih 80 juta pengikutnya bahawa syarikat itu mempunyai potensi yang sangat besar dan dia mahu menjadikan ia lebih baik dengan menyediakan ciri baru, termasuk meningkatkan keyakinan pengguna serta mengekang 'bot spam'.

Sementara itu Pengarah Urusan Boyar Value Group yang memiliki kepentingan dalam Twitter, Jonathan Boyar, berkata dia percaya jika diberikan masa yang mencukupi mereka boleh berubah.

"Saya fikir jika syarikat itu diberi masa yang cukup untuk berubah, kami akan membuat lebih banyak daripada apa yang ditawarkan oleh Musk sekarang," katanya.

Saham syarikat terbabit meningkat 6 peratus - menjadi AS$51.90 seunit - ekoran pengumuman terbaru mengenai pertukaran pemilikan tersebut.

Persetujuan yang dicapai itu mewakili premium hampir 40 peratus kepada harga penutup sehari sebelum Musk mendedahkan dia membeli lebih daripada 9 peratus kepentingan Twitter.

Bagaimanapun tawaran itu berada di bawah julat AS$70 apabila Twitter didagangkan pada tahun lalu.