Skip to main
Logo Malaysiakini

Perak izinkan solat Aidilfitri tanpa penjarakan fizikal

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan untuk membenarkan solat sunat Aidilfitri diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan perumahan di negeri itu tanpa penjarakan fizikal pada 1 Syawal ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Mohd Annuar Zaini berkata baginda bertitah kebenaran tersebut tertakluk kepada pemakluman penganjur dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Aidilfitri.

Pemakluman tersebut, katanya, perlu dibuat kepada pegawai tadbir agama daerah dan balai polis atau pondok polis terdekat.

"Solat sunat Aidilfitri boleh dilaksanakan tanpa jarak fizikal antara jemaah di masjid dan surau.

"Aktiviti takbir Aidilfitri juga boleh diadakan dari rumah ke rumah," katanya dalam kenyataan di Ipoh hari ini.

Mohd Annuar berkata hidangan jamuan Aidilfitri di masjid dan surau secara terbuka atau bufet serta aktiviti ziarah kubur juga dibenarkan.

Menurutnya, hidangan jamuan secara terbuka atau bufet turut boleh diadakan di masjid dan surau bermula Maghrib pada Khamis ini.

Katanya, Sultan Nazrin menzahirkan titah berkenaan berlandaskan sembah nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), jabatan kesihatan negeri (JKN) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

"Semua aktiviti Aidilfitri hendaklah mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh MKN dan JKN seperti pemakaian pelitup muka dan mendaftar kehadiran di MySejahtera," katanya.

Menurut Mohd Annuar, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan selamat hari raya kepada seluruh rakyat baginda di samping mendoakan kesejahteraan mereka.

- Bernama