Skip to main
Logo Malaysiakini

Tragedi basikal lajak: Pengurusan kes bagi rayuan ditetapkan pada 11 Mei

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Rayuan menetapkan 11 Mei depan bagi pengurusan kes rayuan Sam Ke Ting yang memohon untuk membatalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 atas dakwaan memandu secara melulu dan mengakibatkan lapan remaja yang menunggang basikal lajak terkorban pada 2017.

Ini selepas Sam, 27, berjaya mendapatkan kebenaran merayu daripada Mahkamah Rayuan pada 18 April, serta penangguhan hukuman sementara menunggu rayuannya didengar.

Peguamnya, Muhammad Faizal Mokhtar mengesahkan tarikh pengurusan kes ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Mengikut prosedur, pengurusan kes bukanlah pendegaran atau perbicaraan, kebanyakkannya melibatkan arahan dan kemas kini.

Pihak - seperti peguam bela Sam serta peguam pendakwaan - akan hadir untuk mengambil arahan mengenai dokumen yang perlu disediakan, difailkan, disampaikan atau ditukar, dan bila serta bagaimana mereka boleh berhujah atau didengar dalam prosiding yang belum selesai, antara lain.

Keputusan pengurusan kes 11 Mei itu adalah bagi mempercepatkan proses pendengaran penuh merit rayuan oleh Sam.

Pada 18 April lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Sam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi dan wanita itu dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 serta seorang penjamin, sementara rayuannya didengar di mahkamah berkenaan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai P Ravinthran bersama-sama Lee Heng Cheong dan Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut membenarkan permohonan Sam untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Pada 13 April, Mahkamah Tinggi Johor Bahru membatalkan pembebasannya atas tuduhan memandu secara melulu. Hakim Abu Bakar Katar memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan. Dia juga mengetepikan permohonan peguam Sam untuk menangguh hukuman itu sementara menunggu rayuan.

Antara proses undang-undang yang akan diteliti oleh Mahkamah Rayuan semasa prosiding nanti adalah sama ada akuan tidak bersumpah tertuduh dari kandang tertuduh boleh diterima sebagai penjelasan pihak pembelaan terhadap pertuduhan memandu secara melulu atau tidak.

Semasa peringkat pembelaan kesnya di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Sam memilih untuk memberi keterangan tidak bersumpah.

Jika dia telah memilih untuk mengambil tempat saksi dan memberikan keterangan, pihak pendakwaan akan mempunyai peluang untuk menyoal balasnya mengenai versi kejadian di sebalik kemalangan itu.

Satu lagi isu undang-undang yang dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan ialah sama ada kelajuan kereta Sam pada kelajuan 45.33 km sejam pada hari kejadian boleh dianggap berbahaya kepada remaja yang berbasikal lajak tersebut ataupun tidak.

Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

[Baca berita penuh]