Skip to main
Logo Malaysiakini

Undang-undang lompat parti: Jangan sembunyi belakang OSA - Bersih

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai Undang-Undang Antilompat Parti supaya tidak menyembunyikan prosiding utamanya di sebalik Akta Rahsia Rasmi 1972.

Jawatankuasa pemandu Bersih berkata walaupun minit penuhnya adalah rahsia, empat elemen utama - tarikh dan platform mesyuarat, keputusan penting, perkembangan draf rang undang-undang, dan hujahan bertulis dan lisan pihak berkepentingan - mesti didedahkan kepada umum.

“Bersih menyeru PSC tidak menghalang pengetahuan dan penyertaan orang ramai dengan menggunakan OSA dalam semua urusannya.

"Demokrasi Komanwel seperti UK, Australia, New Zealand, Kanada tidak akan menggunakan undang-undang seperti OSA untuk menyekat perbincangan perundangan, kenapa Malaysia?," kata Bersih dalam kenyataan.

"Orang ramai mesti dimaklumkan dan terlibat supaya rang undang-undang yang dihasilkan akan memenuhi jangkaan orang ramai dan kompromi yang diperlukan akan menikmati sokongan awam," kata badan pemerhati pilihan raya itu.

Dalam pada itu, menerusi akaun Twitternya, Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said yang merupakan ahli PSC, menyokong gesaan Bersih untuk penglibatan lebih besar orang dalam proses itu.

“Setuju 100 peratus dengan @bersihofficial .

"Undang-undang antilompat parti memberi kesan kepada pengundi. 

“Oleh itu, pengundi harus dimaklumkan dan terlibat dalam proses penggubalan undang-undang undang-undang antilompat parti," kata Azalina, yang kini merupakan penasihat perdana menteri Ismail Sabri Yaakob mengenai undang-undang dan hak asasi manusia.