Skip to main
Logo Malaysiakini

'Sebahagian kehidupan berparti sebenarnya tak boleh pakai'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas naib presiden Amanah Husam Musa memberi gambaran betapa dia sudah jenuh dengan platform politik dan kini dilihat selesa dengan gerakan Save Kelatan yang baru ditubuhkannya.

Mengulas penglibatan menerajui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Husam berkata, dia melihat kemaslahatan rakyat lebih utama berbanding bergerak bersama sesebuah parti politik.

"Saya dah berumur 60 lebih... saya dah mengalami kehidupan berparti dan sebahagian daripada kehidupan berparti ini sebenarnya 'tak boleh pakai'.

"Saya bukan kata Amanah tak boleh pakai, (tapi) tak boleh pakai parti-parti ini," katanya.

Husam yang turut pernah menjadi naib presiden PAS turut menjadikan parti itu sebagai bukti kepada hujahnya itu.

"Tengok PAS sendiri - hari ni macam itu, esok macam ini, hari ini tak boleh dengan orang ini, esok boleh pula. Dulu boleh, sekejap tak boleh balik.

"Jadi mengarut, kita masuk politik kerana apa? Kerana nak mencapai perkara-perkara baik bagi kepentingan hidup masyarakat, itu niat sebenar seseorang Muslim masuk bidang siasah," katanya.

Baik jika ada kerjasama

Bekas exco kanan Kelantan itu ditemui pada sesi dialog Save Kelantan bersama pengamal media di Kota Bharu, semalam.

Dalam sesi itu juga Husam memberi penerangan mengenai objektif Save Kelantan yang dipengerusikannya itu. Antara lain ia mahu menjadi organisasi yang mewujudkan mekanisme semak dan imbang terhadap perkara-perkara yang dilakukan kerajaan negeri.

Justeru kata Husam, dia tiada masalah jika objektif untuk menjaga kepentingan masyarakat itu boleh dicapai tanpa melalui kepentingan parti-parti.

"Kalau objektif itu kita boleh capai (tanpa) melalui kepentingan parti-parti, saya rasa tak ada masalah," katanya yang juga ketua Amanah Kawasan Kota Bharu.

Sementara itu ditanya pandangannya mengenai kemungkinan berlaku kerjasama di antara Amanah Kelantan dan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam usaha menawan negeri daripada PAS, Husam berkata ia adalah langkah yang baik.

"Pihak Amanah mahu wujudkan kerjasama dengan mana-mana pihak itu sangat baik, saya tidak ada masalah.

"Tetapi bagi Save Kelantan, walaupun Amanah ada hubungan dengan mana-mana platform, mereka kena menerima piagam kita untuk kita menyokong mereka," jelasnya.