Mungkin jebon yang tulis minit mesyuarat 'PASLeak' - Sanusi
Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor percaya minit mesyuarat yang dirujuk sebagai dokumen 'PASleak', yang memperincikan dakwaan perancangan politik membabitkan pemimpinnya untuk menjatuhkan Umno dihasilkan oleh pasukan laskar siber pihak tertentu.
Sanusi yang juga adalah menteri besar Kedah berkata, dia tidak menolak kemungkinan ini dilakukan pihak dalam Barisan Nasional (BN) sendiri.
"Saya tak tahu siapa tulis minit itu, mungkin 'jebon' yang tulis minit mesyuarat itu," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online, hari ini.
Dokumen 'PASleak' itu merujuk minit mesyuarat dua pemimpin PAS selepas mereka bertemu pelbagai tokoh Umno, Bersatu dan Pejuang.
Nama yang dipetik dalam dokumen itu termasuk beberapa ahli parlimen dan menteri kabinet.
Antara lain, dokumen itu menyebut tentang idea untuk mempercepatkan proses memenjarakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan dan bekas perdana menteri Najib Razak.
Salah seorang daripada dua pemimpin PAS yang dinamakan dalam dokumen itu, Ahmad Samsuri Mokhtar telah menafikan kandungan dokumen itu dan menyifatkannya sebagai "sampah".
Mengulas lanjut, Sanusi juga dipetik sebagai berkata, dokumen itu sangat diragui kerana dibuat tanpa mengikut ejaan dan urutan kebiasaan format parti berkenaan.
"Saya kalau nak rancang perkara sebegitu (menjatuhkan kepimpinan Umno), saya tidak tulis. Orang bodoh sahaja tulis, selepas itu sebar bagi orang baca.
“Saya beranggapan dokumen itu dibuat laskar siber pihak yang dapat kepentingan daripada dokumen itu.
"Saya berada lama dalam hierarki kepimpinan PAS Pusat, bagi kita kalau ada (perancangan sulit) kita akan cakap ada, jika tidak ada, kita akan cakap tidak ada. Minit mesyuarat PAS bukan begitu, kita ada format mint yang perlu diikuti, ada ejaan dan urutan tertentu,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai