Skip to main
Logo Malaysiakini

Ajakan sokong Anwar bukan tindakan lompat parti, kata Saifuddin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan PKR mempelawa ahli parlimen dari parti lain menyokong Anwar Ibrahim tidak boleh disamakan dengan perbuatan melompat parti.

Kata Saifuddin tindakan itu lebih kepada menyeru ahli parlimen di luar PKR memberikan sokongan kepada ahli parlimen Port Dickson itu menjadi perdana menteri tanpa mereka perlu menukar kesetiaan parti.

“Kami (pembangkang) meminta sokongan daripada parti lain kerana kami memerlukan sekurang-kurangnya 112 ahli parlimen untuk membentuk kerajaan.

“Bagaimanapun, kami tidak meminta mereka menukar parti sebaliknya sekadar memberikan sokongan tambahan kepada Anwar (menjadi perdana menteri),” katanya yang dipetik portal FMT hari ini.

Kenyataan Saifuddin itu merujuk kepada dakwaan pernah dibuat Anwar pada Sept 2020 bahawa dia memiliki majoriti yang "meyakinkan dan kukuh" untuk membentuk kerajaan.

Saifuddin, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik menjelaskan, ketua pembangkang tidak seharusnya bertanggungjawab dengan keputusan menarik sokongan ahli parlimen parti pesaing kerana ia adalah keputusan kolektif yang dibuat parti.

Pembangkang dan wakil kerajaan kini sedang mengusahakan rang undang-undang (RUU) antilompat parti yang cuba dilaksanakan sebelum PRU ke-15.

RUU antilompat parti yang dinanti-nantikan itu tidak dibentangkan pada 21 Mac atau 11 April seperti yang dijanjikan oleh kerajaan persekutuan.

Sebaliknya, Dewan Rakyat memutuskan bahawa RUU itu perlu dibincang lebih lanjut oleh 11 anggota jawatankuasa pilihan dwipartisan yang diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.