Skip to main
Logo Malaysiakini

Terima Bersatu berbeza dengan terima pembelot di Melaka - Loke

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sebarang keputusan sama ada Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama atau tidak dengan Bersatu mesti dipersetujui oleh semua parti komponen, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Katanya, dia percaya PKR dan Amanah tidak akan mengulangi apa yang berlaku di Melaka tahun lalu apabila kedua-dua parti itu memutuskan untuk menerima dua bekas Adun Umno untuk bertanding pada pilihan raya negeri di bawah tiket PH, yang cukup mengecewakan DAP.

“Ini keputusan besar. Saya fikir ia tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan semua parti (PH).

“Ini sesuatu berbeza daripada apa yang berlaku di Melaka. Di Melaka, ia hanya melibatkan beberapa individu menyertai parti komponen PH.

“Tetapi di sini kita bercakap mengenai membina satu kerjasama dengan parti politik lain, yang kontroversi. Jadi sudah tentu, semua parti mesti bersetuju,” kata Loke.

Diasak mengenai apa yang akan DAP lakukan sekiranya PKR dan Amanah tidak menghormati keputusan bersama itu, dia berkata, “we will cross the bridge when we come to it” yang bermaksud keputusan akan dibuat apabila tiba masalah berkenaan.

Bercakap kepada pemberita semasa majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur semalam, Loke menegaskan adalah sukar bagi pembangkang untuk bekerjasama semula dengan Bersatu selepas apa yang berlaku pada 2020.

Dia berkata demikian ketika diajukan soalan mengenai Bersatu yang bersedia bekerjasama dengan parti lain untuk menentang BN pada pilihan raya umum akan datang.

Loke sebelum ini agak keberatan untuk menerima semula Bersatu, yang berpaling tadah daripada gabungan PH pada 2020, sehingga menyebabkan tumbangnya mereka daripada kuasa persekutuan.

Dalam satu kenyataan minggu lalu, dia mendedahkan bahawa konsep ‘khemah besar’ yang dipersetujui dalam resolusi Port Dickson merujuk kepada kerjasama dalam blok pembangkang dan bukannya dengan Perikatan Nasional (PN) dipimpin oleh Bersatu, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan hari ini.

Ia susulan kenyataan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang menggesa PH berbincang dengan PN.

Loke berkata setakat ini pucuk pimpinan PH belum membuat sebarang keputusan untuk berunding dengan Bersatu.

Sementara itu, mengenai strategi 'khemah besar', Loke berkata perbincangan dengan parti pembangkang lain pada pilihan raya umum ke-15 masih diteruskan.

Dia berkata PH berpendapat adalah lebih baik parti pembangkang tidak bertelagah sesama sendiri pada pilihan raya.

"Bagi PRU15, kita ada rundingan kerusi, tidak boleh lawan satu sama lain dan bagi saya ia masih proses yang berlanjutan, belum diputuskan lagi.

"Kita tak tutup pintu dengan parti-parti pembangkang yang lain. Tapi, sudah tentunya kita ada parameter kita, pendirian kita.

“Bagi saya, paling baik di kalangan pembangkang jangan lawan antara satu sama lain, tapi sama ada ia dicapai atau tidak belum diputuskan," katanya.

[Baca berita penuh]