Skip to main
Logo Malaysiakini

Hospital Sungai Buloh kini jadi hospital Covid-19 hibrid

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hospital Sungai Buloh, yang telah dijadikan sebagai fasiliti rawatan Covid-19 utama sejak 2020, dibuka semula untuk pesakit bukan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata KKM membuat keputusan itu selepas mengambil kira penurunan kes Covid-19 serta kadar penggunaan fasiliti kesihatan yang rendah bagi merawat pesakit berkenaan di Lembah Klang,

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersetuju agar perkhidmatan perubatan bukan Covid-19 yang tertangguh di Hospital Sungai Buloh dimulakan semula.

"Sehubungan itu, perkhidmatan hospital ini telah ditukar kepada status hibrid di mana ia akan merawat pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Noor Hisham, Hospital Sungai Buloh telah diwartakan pada 10 Mac 2020 sebagai hospital perawatan perubatan khusus kepada pesakit Covid -19 bagi menampung keperluan katil hospital untuk merawat kes-kes berkenaan.

"Pada kemuncak operasinya, Hospital Sungai Buloh telah mampu menampung lebih daripada 2,000 pesakit Covid-19 pada satu-satu masa dan sehingga semalam, seramai 92,874 orang pesakit Covid-19 telah dirawat di hospital ini sepanjang pandemik Covid-19," katanya.

Status hibrid bermakna jabatan kecemasan hospital akan dibuka kepada semua pesakit.

Dilaporkan awal tahun ini, Hospital Sungai Buloh turut mengendalikan kes bukan Covid secara terpilih mengikut budi bicara pengarah hospital.