Skip to main
Logo Malaysiakini

Ikhlas atau tidak lawan Umno: Bersatu istiqamah lawan kemungkaran

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tidak timbul soal keikhlasan Bersatu untuk bekerjasama dengan parti lain bagi menentang BN dalam PRU15 meskipun mereka masih lagi bersama Umno dalam kerajaan, kata Timbalan Presidennya, Ahmad Faizal Azumu.

Tegas Faizal yang juga menteri belia dan sukan, apa yang pasti adalah Bersatu konsisten melawan kemungkaran dan salah guna kuasa.

"Perkara ini akan kami teruskan dan ianya merupakan agenda utama perjuangan.

“Mungkin ada pemimpin sukar untuk memahaminya namun, usaha kami akan diteruskan," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, ia jelas apabila kempimpinan parti sebulat suara untuk tidak menyokong mana-mana pemimpin yang terpalit dengan gejala rasuah serta salah guna kuasa.

"Jelas, kami tidak akan menyokong pemimpin-pemimpin yang terpalit dengan gejala rasuah serta salah guna kuasa. Kami berusaha memberi kesedaran kepada rakyat untuk turut menolak pemimpin seumpama ini.

"Kami berterusan berusaha membantu membangunkan negara dengan mengamalkan ketelusan, keadilan dan berkebajikan," kata ahli parlimen Tambun itu.

Faizal berkata demikian mengulas kenyataan pemimpin DAP yang mempersoalkan keikhlasan Bersatu untuk bekerjasama dengan parti lain bagi menentang BN dalam PRU15 sedangkan mereka masih lagi bersama Umno dalam kerajaan.

Bekas ketua pemuda DAP, Howard Lee (gambar, bawah) semalam dilaporkan berkata sekiranya Bersatu ikhlas ingin melihat tadbir urus negara yang lebih baik, mengapa tidak memikirkannya sebelum mengkhianati Pakatan Harapan (PH).

Kata Howard, Bersatu merupakan rakan gandingan bersama Umno dalam kerajaan sekarang.

Justeru, sekiranya Bersatu ikhlas hendak melawan Umno, dan hendak menunjukkan ketulusan berjuang demi kepentingan negara, mengapa masih bersama mereka dalam kerajaan, soalnya.

Mengulas lanjut, seorang lagi pemimpin Bersatu berkata kenyataan kepimpinan DAP itu jelas memperlihatkan yang mereka tidak faham situasi.

Patut serah pada Majlis Presiden PH

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata DAP tidak faham bahawa parti lawannya itu tidak melawan kepimpinan Umno secara keseluruhannya.

Sebaliknya, Muhammad Faiz (gambar, bawah) berkata Bersatu menentang kluster mahkamah yang mendominasi Umno ketika ini.

"Mereka tidak faham konsep perpaduan nasional perlulah berteraskan penyatuan pribumi itu sendiri terlebih dahulu.

"Sewajarnya Howard menyerahkan hal rundingan antara PH dengan Bersatu ini kepada Majlis Presiden PH sepertimana kami menyerahkannya kepada Biro Politik parti kami untuk berbincang mengenainya," katanya.

Bagaimanapun, mengulas soal khianat yang dinyatakan Howard, Muhammad Faiz berkata ianya dari perspektif parti lawannya saja.

"Khianat itu dari perspektif pihak yang sentiasa membuat desakan dengan kerap agar individu tertentu dapat diangkat jadi PM tanpa menghiraukan persepsi rakyat terhadap imej kerajaan PH ketika itu.

"Mereka (PKR-DAP) masih mendukung watak yang sama untuk jadi PM sejak 20 tahun lepas.

"Apa masalahnya untuk berunding dengan Bersatu di blok kerajaan kerana PH sendiri pun rela membuat MOU dengan pihak kerajaan," soalnya.

Pada 25 Apr lalu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata parti itu sedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi memastikan BN berdepan saingan satu lawan satu pada PRU15 akan datang.

Tanpa menamakan mana-mana parti, Muhyiddin berkata ketika ini parti itu masih di peringkat awal rundingan bagi menawarkan formula “menang-menang” antara mereka supaya dapat mencapai agenda berkenaan.

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata persefahaman antara parti politik itu penting bagi mengelak perpecahan undi seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

"Kalau matlamat kita yang penting untuk negara, maka pimpinan parti lain seharusnya boleh berfikiran sama dan mereka sudah menunjukkan reaksi yang agak positif tapi belum lagi kita perhalusi untuk macam mana cara jalinan kerjasama itu hendak dilaksanakan,” katanya.