Skip to main
Logo Malaysiakini

2,935 lagi positif, 10 kes kematian baru

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan berkata 2,935 kes baru Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 4,443,318.

Kes aktif kini berjumlah 53,777, turun 52.5 peratus berbanding 14 hari lalu.

Setakat dua hari lalu, R-naught turun kepada 0.70. Angka R-naught yang kurang daripada 1.00 menunjukkan bahawa penyebaran Covid-19 semakin berkurangan.

Kes baru mengikut negeri adalah seperti berikut:

Selangor (1,215)
Kuala Lumpur (462)
Pulau Pinang (224)
Negeri Sembilan (193)
Perak (193)
Johor (122)
Melaka (108)
Kedah (98)
Sarawak (97)
Pahang (74)
Putrajaya (56)
Sabah (36)
Terengganu (35)
Kelantan (15)
Perlis (5)
Labuan (2)

Sebanyak 10 lagi kematian yang dikaitkan dengan Covid-19 dilaporkan semalam, dengan seorang korban meninggal dunia sebelum tiba di hospital.

Sepanjang minggu lalu, purata 9.4 orang dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19, manakala purata bagi 30 hari lalu ialah 21.0, menunjukkan bahawa kematian Covid-19 berada dalam aliran menurun.

Sejak permulaan wabak pada Mac 2020, sebanyak 35,536 kematian telah dikaitkan dengan Covid-19.

Terdapat 553 kematian Covid-19 yang dilaporkan pada bulan ini. Sebagai perbandingan, terdapat 2,235 kematian pada bulan lepas dan 770 kematian pada Februari.

Malaysia mempunyai jumlah kematian per kapita tertinggi di rantau Asean dan Asia Timur dengan 1,071 kematian bagi setiap 1 juta penduduk, dan keempat terburuk di Asia selepas Iran, Lubnan dan Jordan – semuanya di Timur Tengah.

Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu masing-masing melaporkan dua kematian baru manakala Johor, Kedah, Melaka dan Putrajaya masing-masing melaporkan satu kematian.

Terdapat 1,385 pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital dengan 84 daripadanya berada di unit rawatan rapi.

Semalam, 476 pesakit Covid-19 telah dimasukkan ke hospital. Jumlah kemasukan harian Covid-19 semalam adalah yang terendah sejak 24 Dis 2020 (16 bulan).

Jumlah kemasukan tertinggi semalam dicatatkan di Selangor (149) diikuti Johor (121) dan Sabah (55).