Skip to main
Logo Malaysiakini

Naskhah al-Quran tanpa kelulusan KDN masih dijual berleluasa

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penjualan naskhah al-Quran tanpa kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dinamakan sebagai mashaf al-Quran al-Wasim, al-Quran an-Nur dan mashaf al-Quran al-Mumayyaz masih dijual secara berleluasa.

Ini khususnya menerusi platform e-dagang atau dalam talian seperti Shopee dan Lazada serta menerusi media sosial.

Malah tinjauan Malaysiakini mendapati naskhah tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326) mewartakan larangan naskhah al-Quran jenis tersebut pada 2016.

Larangan itu dikenakan kerana ia didapati mengandungi dua kesalahan iaitu menggunakan rasm imla'i ( versi mushaf Al-Quran yang ditulis berasaskan kaedah penulisan bahasa Arab biasa) dan menggunakan tulisan rumi dalam penulisan ayat al-Quran.

Sebagai rekod hanya Rasm Uthmani (tulisan mashaf-mashaf al-Quran yang digunakan dan dipersetujui oleh Sayyidina Uthman r.a untuk menulis kalimah-kalimah al-Quran dan huruf-hurufnya) sahaja dibenarkan penggunaannya dalam penulisan al-Quran di Malaysia.

Manakala penggunaan tulisan rumi dalam penulisan ayat al-Quran tidak dibenarkan selaras dengan keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam kali ke-24 yang bersidang pada 5 dan 6 Jun 1989.

Muzakarah terbabit memutuskan bahawa; “adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf arab atau bukan sistem tulisan al-Quran”.

Terdapat dua kaedah penulisan huruf Arab, Rasm Uthmani dan Rasm Imla’i.

Jenis yang pertama khusus digunakan untuk penulisan ayat al-Qur’an sesuai dengan mashaf Uthmani. Sedangkan jenis kedua yang dipertikaikan itu untuk penulisan Arab aturan umum baku, atau huruf rumi kata-kata arab sebagaimana ia diucapkan.

Melalui portal e-dagang didapati jualan nashkah al-Quran yang tidak mendapat kelulusan KDN itu masih berleluasa, malah terdapat peniaga menegaskan penjualan tersebut tidak salah di sisi syarak.

Seorang peniaga ketika dihubungi berkata, dia sedar semua naskhah al-Quran yang mengandungi tulisan rumi tidak mendapat kelulusan KDN.

Bagaimanapun katanya, kandungan al-Quran tersebut tidak mempunyai sebarang kesalahan.

"Isi kandungan semua tak ada salah, cuma tak diluluskan KDN sebab ada tulisan rumi.

"Dari segi undang-undang Malaysia salah, tetapi dari aspek hukum asal tak salah," katanya ketika ditanya menerusi ruang pesanan di platform e-dagang yang mengiklankan naskhah berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi peniaga al-Quran al-Mumayyaz berkata kebiasaannya mereka yang membeli naskhah berkenaan adalah golongan dewasa yang mahu belajar membaca al-Quran.

"Sambutan agak menggalakkan, selain berniaga hasrat kami untuk bantu orang ramai boleh membaca al-Quran.

"Tulisan rumi hanya sebagai panduan untuk memudahkan bacaan. Setakat saya niaga tak ada masalah sebab jual secara online," katanya yang enggan namanya disiarkan.

Semakan Malaysiakini juga mendapati harga pasaran bagi naskhah al-Quran jenis al-Mumayyaz atau An-Nur antara RM30 hingga lebih RM130 dan dijual seolah-olah tanpa sekatan melalui medium atas talian.

Justeru, timbul persoalan sejauh mana langkah penguatkuasaan diambil selepas KDN mewartakan larangan terhadap naskhah berkenaan dan apakah platform e-dagang boleh secara bebas dibenarkan penjualannya.

Sementara itu, Shopee ketika dihubungi memaklumkan mereka mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap penjualan barangan terlarang atau barangan yang menyalahi undang-undang di platform mereka.

Jurucakapnya berkata, Shopee komited dalam memberikan pengalaman membeli-belah yang selamat, boleh dipercayai dan menyeronokkan untuk para pengguna.

Menurutnya, penjualan naskhah al-Quran yang tidak diluluskan dan tidak disahkan di platform Shopee telah dibawa ke perhatian kami dan kami telah mengambil langkah segera untuk membuang penyenaraian tersebut di platform kami.

"Sebarang produk yang didapati menyalahi undang-undang atau tidak mematuhi polisi Shopee akan dibuang daripada platform kami dan, jika berkenaan, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap penjual tersebut.

"Kami juga ingin menggalakkan para pengguna untuk menghubungi Shopee jika mereka menemui penyenaraian yang serupa di platform kami.

“Para pengguna boleh menghubungi kami melalui bulatan menu di sudut kanan atas mana-mana penyenaraian produk dan klik pada pilihan 'laporkan produk ini'," katanya.

Malaysiakini juga sedang mendapatkan reaksi pihak berkuasa berhubung isu berkenaan, selain telah menghubungi Lazada dan sedang menunggu maklum balasnya.