Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin PAS saran Qisas - 'Hentak balik pembuli dengan meja'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang pemimpin akar umbi PAS, hari ini mencadangkan hukuman Qisas dikenakan ke atas pelajar yang menghentak meja terhadap mangsa buli di sebuah sekolah di Langkawi.

Ketua PAS Subang, Zaharudin Muhammad, berkata berdasarkan hukum Qisas mangsa buli boleh menghentak balik pelajar berkenaan dengan meja.

"13 pelajar ditahan akibat pukul orang. Ada yang hentak mangsa dengan meja. Hukumannya ialah hukuman juvana.

“Masuk sekolah pemulihan, berkumpul budak-budak jahat seangkatan. Lepas keluar mungkin jadi lagi hebat. Mangsa pula bukan dapat apa-apa,” katanya dalam satu catatan di Facebook, hari ini.

Menurut Zaharuddin yang juga adalah menantu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, pelajar yang menghentak rakannya dengan meja itu seharunya diadili mengikut undang-undang Islam dan dikenakan hukuman Qisas.

“Caranya budak yang kena hentak tu, dia akan hentak balik budak yang hentak dia secara terbuka, boleh buat siaran langsung dalam televisyen.

"Jika hentakan itu dibimbangi tidak seimbang, atau dibimbangi kesan lebih teruk kepada si pesalah sebab kekuatan hentakan susah nak laras, maka wajib bayar 'diyat' atau pampasan.

"Jika budak tu tak mampu, maka ayahnya (al aqilah) wajib tangung. Duit tu wajib bagi kat mangsa, haram kerajaan ambil," katanya.

Semalam, polis menahan seramai 13 pelajar tingkatan empat sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Langkawi bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar lelaki dipukul beberapa pelajar lain yang tular menerusi satu rakaman video.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata seramai 12 pelajar ditahan pada 12.30 tengah hari semalam manakala seorang lagi ditahan pukul 3 petang.

Daripada semua pelajar yang ditahan, lima daripada mereka adalah rakan sekelas kepada mangsa manakala baki yang lain dari kelas berasingan. Rakaman percakapan sedang diambil bagi membantu siasatan, katanya.