Skip to main
Logo Malaysiakini

GLOBAL l China jalankan ekspedisi di Gunung Qomolangma

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GLOBAL l China pada Khamis melancarkan ekspedisi saintifik di Gunung Qomolangma, puncak tertinggi di dunia yang terletak di sempadan China-Nepal.

Ekspedisi saintifik yang disertai lebih 270 ahli penyelidik merupakan sebahagian daripada penyelidikan saintifik yang kedua dijalankan China di Dataran Tinggi Qinghai-Tibet yang dimulakan pada 2017.

Dataran Tinggi Qinghai-Tibet cukup sinonim dengan gelaran 'Bumbung Dunia', 'Menara Air Asia', dan 'Kutub Ketiga Bumi', serta berperanan menjamin keselamatan ekologi yang penting bagi China.

Teknologi dan kaedah paling canggih akan digunakan dalam ekspedisi kali ini dengan tujuan untuk mengkaji isu-isu saintifik utama seperti sinergi angin barat-monson, perubahan menara air Asia, sistem ekologi dan biodiversiti, serta kegiatan manusia di kawasan Gunung Qomolangma. Pasukan ekspedisi juga akan mengkaji perubahan alam sekitar, perubahan kepekatan gas rumah hijau, penyesuaian manusia terhadap cuaca ekstrem khususnya di kawasan beraltitud tinggi di kawasan Qomolangma, di sebalik pemanasan global.

Ia kemudiannya akan digunakan untuk membantu menyusun rancangan inovatif dan saintifik China bagi memelihara alam sekitar di gunung itu.

Ahli akademik Akademi Sains China dan kapten pasukan ekspedisi saintifik Qinghai-Tibet kedua, Yao Tandong berkata ekspedisi sebelum ini tertumpu kepada ketinggiannya.

Bagi misi kali ini beliau berkata pihaknya akan menjalankan penyelidikan menyeluruh termasuk atmosfera, air, ekologi, dan proses permukaan Bumi.

Untuk rekod, satu daripada misi istimewa dan sangat penting dalam ekspedisi kali ini adalah untuk membina lapan stesen cuaca dengan ketinggian antara 5,200 hingga 8,800 meter dari paras laut.

Apabila stesen cuaca yang terletak pada ketinggian 8,800 meter itu siap kelak, ia akan menjadi stesen cuaca automatik tertinggi di dunia.

Ekspedisi saintifik dikenali “Misi Kemuncak” itu dijangka berlangsung sehingga penghujung Mei.

- Bernama