Skip to main
Logo Malaysiakini

SC umum pelantikan ketua kaunsel, pengarah baru

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan pelantikan Yew Yee Tee dan Shamsul Bahriah Shamsudin masing-masing sebagai ketua kaunsel dan pengarah yang baru.

Pelantikan mereka telah dilakukan pada 19 April 2022 dan akan berkuat kuasa pada 1 Julai, 2022.

SC dalam satu kenyataan berkata Yee Tee kini memegang jawatan pengarah eksekutif pengawasan pengantara dan dana, sebelum menyertai SC pada tahun 2020 dia adalah ketua pegawai kawal selia Bursa Malaysia Berhad.

Yee Tee akan menggantikan Chee Fei Meng yang telah memilih untuk tidak memperbaharui kontraknya yang tamat pada 15 April 2022, justeru bagi proses peralihan yang lancar, Fei Meng akan terus berkhidmat dengan SC sehingga 30 Jun, 2022.

Shamsul Bahriah pula merupakan ketua pengawasan institusi dan telah berkhidmat dengan SC selama 19 tahun. Dia akan menggantikan Yee Tee sebagai pengarah pengawasan pengantara dan dana.

Sementara itu, SC mengesahkan peletakan jawatan pengarah urusannya Foo Lee Mei. Dia memilih untuk menamatkan kontraknya lebih awal pada 6 April 2022.

Lee Mei akan terus berkhidmat sehingga 20 Mei 2022.

Selain itu, Pengarah Eksekutif Strategi Digital dan Inovasi Chin Wei Min pada 28 April 2022 telah meletakkan jawatannya dengan notis dua bulan.

SC berkata ia telah pun mengenal pasti calon dalaman untuk menggantikan Wei Min dan tertakluk kepada pengesahan dan pemformalan, pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.

“SC juga ingin menegaskan bahawa bertentangan dengan spekulasi media baru-baru ini, peletakan jawatan pengarah urusan dan ketua kaunsel adalah tidak berkaitan. Keputusan telah dibuat sebelum pengumuman peletakan jawatan pengerusi eksekutifnya Syed Zaid Jaffar Albar semalam yang berkuat kuasa pada 31 Mei, 2022,” katanya.

Menteri Kewangan telah melantik Awang Adek Hussin sebagai pengerusi eksekutif SC yang baru berkuat kuasa selama tiga tahun mulai 1 Jun 2022 hingga 31 Mei 2025.

-Bernama