Skip to main
Logo Malaysiakini

'Mungkin PAS lebih selesa berkawan dengan ular, biawak dan monyet'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan (PH) tiada masalah sekiranya PAS enggan turut serta dalam kerjasama ‘khemah besar’ gabungan parti pembangkang itu bagi memastikan situasi satu lawan satu dengan BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden PH Salahuddin Ayub berkata ini demikian kerana PAS mungkin tidak selesa berada di dalam ‘khemah besar’ pakatan pembangkang.

Sebaliknya kata timbalan presiden Amanah itu, PAS mungkin lebih selesa berada di dalam hutan rimba dan berkawan dengan ular, biawak dan monyet.

"Biarlah PAS, kalau dia tidak mahu. Mungkin PAS lebih selesa nak berkawan dengan ular, biawak dan monyet.

"PAS tak selesa dalam khemah. Mungkin dia minat di hutan rimba," kata Salahuddin kepada Malaysiakini.

Salahuddin berkata demikian mengulas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa parti itu tidak akan menyertai ‘khemah besar’ PH kerana ada “tikus dan kucing”.

Abdul Hadi semalam menyindir idea kerjasama ‘khemah besar’ PH dan menegaskan PAS tidak akan menyertainya tetapi akan mempertahankan agenda “perpaduan ummah” dengan parti-parti besar orang Islam iaitu Bersatu dan Umno.

Selain itu, katanya, mereka juga akan bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan Islam dan kumpulan serta parti bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Kita tidak ikut khemah kerana dalam khemah itu ada ‘tikus’, ‘kucing’, ada macam-macam. Segalanya ada dalam khemah itu,” dia dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Walaupun PAS berminat meneruskan kerjasama yang dirintis melalui Muafakat Nasional (MN), Umno yang menjadi parti dominan dalam kerajaan dilihat tidak lagi berminat ke arah itu.

Hubungan kedua-dua parti diburukkan lagi dengan kemunculan dokumen ‘PASleak’ yang didakwa cuba mempengaruhi mahkamah untuk mempercepatkan hukuman terhadap Presiden Umno Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Pemimpin PAS menafikan kesahihan dokumen yang dikatakan bocor itu.