Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenderaan mikromobiliti: 'Tingkat kesedaran keselamatan, jangan terus larang'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

TINJAUAN | Larangan penggunaan tiga jenis kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya yang diumumkan Kementerian Pengangkutan baru-baru ini telah menimbulkan banyak tentangan.

Tiga kenderaan mikromobiliti yang dilarang tersebut adalah jenis Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA).

Rata-rata penunggang kenderaan elektrik persendirian (PEV) yang ditemubual Malaysiakini berpendapat isu tersebut tidak sepatutnya dibuat secara pukul rata, dengan pembezaan dibuat antara mereka yang menyewa dan memiliki sendiri kenderaan tersebut.

Salah seorang peminat tegar PEV yang hanya ingin dikenali sebagai Ezac berkata dia terkejut apabila kerajaan mengumumkan larangan tersebut.

“Saya faham isu skuter elektrik ni sejak dahulu lagi dipandang serong oleh masyarakat dan pihak polis. Bagi saya ia disebabkan perkhidmatan sewa skuter elektrik.

Ezac

“Kalau kita tengok penyewa skuter elektrik ini tidak memakai alat keselamatan seperti helmet. Ada juga tidak ada kesedaran cara menunggang skuter elektrik yang betul.

“Jadi persepsi negatif turut terpalit kepada pengguna skuter lain yang mengikut tertib di jalan raya," kata lelaki berusia 44 tahun itu.

Dia berkata berbanding mengharamkannya secara terus, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran berkenaan cara selamat menggunakannya.

Larangan itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong yang antara lain menyifatkannya membahayakan pengguna kenderaan tersebut dan juga pengguna jalan raya lain.

Membangkitkan tragedi nahas basikal lajak, Wee berkata percampuran kenderaan itu dengan kenderaan motor lain di atas jalan akan menimbulkan risiko yang serupa.

Katanya lagi, penggunaan kenderaan mikromobiliti yang dilarang di atas jalan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM3,000 di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1978.

Gan Ken Wei, 38, yang menggunakan skuter elektrik untuk ke tempat kerja juga mempersoalkan langkah pengharaman tanpa langkah selainnya.

Gan turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang menurutnya tidak mengambil kira bagaimana kenderaan itu dapat membantu menjaga alam sekitar serta memudahkan perjalanan orang ramai.

"Tindakan larangan ini betul, tapi mesti ada peraturan untuk mendidik seperti keperluan untuk memakai topi keledar,” katanya.

Gan

Sementara itu, seorang lagi pengguna skuter elektrik, Nazry Nasir (gambar utama) berharap kerajaan memperhalusi lebih mendalam penggunaan kenderaan itu.

"Kalau penggunaan di jalan raya besar, bagi saya patut dilarang tetapi kerajaan harus ada cara untuk mengatasi masalah ini.

“Contohnya buat lorong khas seperti mana lorong basikal tak kira di jalan besar mahupun jalan perumahan dan tempat riadah," katanya lelaki berusia 40 tahun itu, sambil menambah kenderaan itu sudah digunakan secara meluas di banyak negara.

Ruzairi

Berbeza pula dengan peniaga PEV Muhd Ruzairi Hasan, 46, yang merasakan penggunaan skuter elektrik belum dilarang secara sepenuhnya.

Dia membangkitkan kenyataan Wee bahawa penggunaannya di atas jalan akan dipertimbangkan jika pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan kemudahan infrastruktur yang menyokong penggunaannya.

Justeru, Ruzairi berkata dia melihat perkara itu dari sudut positif dan masih ada ruang perbincangan antara pihak berkuasa dan kalangan yang terlibat.

Ahli Persatuan Kenderaan Mikromobiliti Malaysia (PEV Malaysia) Hafizuddin Fareis bin Fisal, 35, berkata kesal dengan pengumuman itu memandangkan pihaknya telah melakukan yang terbaik untuk memupuk kesedaran berkenaan faktor keselamatan di kalangan pengguna PEV.

"Semua aktiviti kami untuk menggalakkan pengguna ke arah menjaga alam sekitar dan mengurangkan pelepasan karbon," katanya yang mencadangkan kerajaan mencontohi negara luar yang mengenakan lesen khas untuk penggunaan PEV.