Skip to main
Logo Malaysiakini

'Wang tunai, kampit beras, itu lindungi Melayu?' - Usahawan soal Wan Fayhsal

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Elit politik Melayu yang mengekalkan dasar ekonomi sempit serta memperkasakan dan memperkayakan mereka dengan mengorbankan kaum mereka dan orang lain perlu malu kepada diri mereka sendiri, dakwa ahli perniagaan Chandran Nair.

Pengasas badan pemikir itu membidas kenyataan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal baru-baru ini bahawa orang Melayu, dengan pemikiran neo-feudal dan berpuak-puak mereka, masih memerlukan pelindung.

Bagi Chandran, amat mengecewakan apabila generasi baru pemimpin politik, yang sepatutnya mempunyai iltizam membebaskan rakyat daripada masalah pemikiran dan stereotaip kaum, mengukuhkan kepercayaan lama yang mengikat dan menyekat kemajuan.

“Umum mengetahui menjelang pilihan raya, orang ramai dibeli dengan wang tunai dan kampit beras. Ini menceritakan betapa menyedihkan apabila ahli politik Melayu elit boleh mewujudkan blok mengundi dengan janji sedemikian.

“Ia menunjukkan bagaimana mereka mendatangkan kerosakan terhadap golongan yang kehilangan hak dalam masyarakat dan mengapa mereka memilih untuk menjadikan mereka kekal miskin berbanding menaikkan taraf hidup mereka.

“Jika inilah rupa perlindungan, mereka (elit politik) sepatutnya malu dengan diri mereka sendiri,” katanya kepada Malaysiakini.

Apabila ditegaskan bahawa Wan Fayshal telah menjawab pengkritik, dengan menjelaskan kenyataannya bahawa dia juga tidak bersetuju dengan pemikiran konservatif sebegini, Chandran berkata ia tidak mencukupi.

Menurutnya, timbalan menteri perpaduan negara itu bertanggungjawab memberi penerangan yang jelas mengapa pemikiran ini wujud, apa yang mengekalkannya, dan apa yang boleh dilakukan untuk menanganinya.

Chandran berkata Wan Fayshal mesti berani melawan arus dan tidak kelihatan serong cenderung menyokong pemikiran itu.

“Jangan masuk politik jika kamu tidak sanggup menyanggah struktur sosial dan sikap yang menghalang orang ramai daripada maju dan menyedari potensi mereka.

“Jangan hanya sanggup menerima sistem lama dan menambah 'tuang minyak ke dalam api.'

“Ini menunjukkan ketidakmatangan sistem politik Malaysia dan ramai pesertanya. Kamu masuk politik untuk menjadikan negara lebih baik. Kamu boleh menjadi seseorang yang sanggup meneruskan politik lama berasaskan kaum atau seperti yang dikatakan oleh seorang pemimpin muda, 'itu adalah masa lalu dan kita perlu bergerak ke hadapan dengan menghapuskannya'.

“Pemimpin politik dalam masyarakat berbilang budaya seperti Malaysia tidak seharusnya hanya membuat kenyataan yang bersifat perkauman dan yang tidak melakar hala tuju masa depan tanpa menawarkan pandangan yang membantu mencari penyelesaian.

“Adalah mundur untuk mencadangkan orang Melayu mempunyai pemikiran yang tidak boleh diubah.

“Pemimpin politik sepatutnya membantu rakyat semua kaum untuk keluar daripada pemikiran berasaskan kaum,” katanya lagi.

[Baca berita penuh]