Skip to main
Logo Malaysiakini

'Jangan hukum peniaga jika ada individu berisiko tinggi dalam premis'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketika daftar masuk aplikasi MySejahtera tidak lagi diwajibkan, industri peruncitan menggesa kerajaan supaya tidak meletakkan tanggungjawab kepada pemilik premis sekiranya individu berisiko tinggi ditemui di premis mereka.

Dalam satu kenyataan bersama, enam NGO perniagaan runcit berkata individu berkenaan sendiri mesti bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang penguatkuasaan.

Kumpulan itu mengalu-alukan kelonggaran SOP, termasuk tidak perlu lagi mengimbas aplikasi MySejahtera di pintu masuk premis bermula 1 Mei.

"Tanggungjawab menjaga keselamatan premis dan komuniti sebahagian besarnya adalah tanggungjawab tiga pihak - pihak berkuasa, pemilik premis dan individu," kata kumpulan itu.

"Semua individu yang berstatus MySejahtera 'Berisiko Tinggi' atau positif Covid dan mereka yang berada dalam Perintah Pengawasan Rumah (HSO) harus berdisiplin diri dan tidak dibenarkan memasuki mana-mana premis.

"Tanggungjawab terletak pada semua individu untuk memastikan mereka tidak berada dalam senarai berisiko tinggi apabila mereka keluar rumah dan tidak memalsukan status mereka dalam apa jua keadaan. Individu yang dibenarkan masuk ke dalam premis adalah berdasarkan kepercayaan dan integriti," kata kumpulan itu.

Kumpulan itu meminta kerjasama orang ramai apabila mereka diminta untuk melihat status MySejahtera pelanggan.

"Kami menyokong penuh seruan pihak berkuasa untuk menekankan dan mengingatkan rakyat supaya menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan tidak menentang atau tidak mahu menunjukkan status MySejahtera," kata kumpulan itu.

"Maksudnya, pihak berkuasa mesti mengiktiraf bahawa pemilik premis tidak boleh bertanggungjawab sekiranya individu berisiko tinggi pasti ditemui di dalam premis itu kerana individu itu sendiri mesti bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang penguatkuasaan," kata mereka.

Semalam, Khairy memberitahu pemilik premis, terutama di kawasan berisiko tinggi seperti restoran, untuk menyemak status risiko Covid-19 pengunjung menggunakan aplikasi MySejahtera.

Khairy turut memberi amaran tindakan boleh diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terhadap individu dalam premis yang didapati 'berisiko tinggi' kerana melanggar peraturan dan mendedahkan risiko jangkitan kepada orang lain.

Kenyataan itu disokong bersama oleh Persekutuan Rantaian Peruncitan dan Francais Asean (ARFF), Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) dan Persatuan Pusat Beli-belah Malaysia (PPK).