Skip to main
Logo Malaysiakini

Aidilfitri: Petugas lebuh raya wira tidak didendang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lebaran tahun ini membawa seribu satu makna kepada warga Islam di seluruh negara selepas dua tahun dikekang dek penularan wabak Covid-19. 

Tatkala orang ramai bergegas pulang ke kampung halaman untuk melampiaskan rindu kepada sanak saudara setelah sekian lama tidak ketemu, ada segelintir yang perlu berjauhan dari keluarga demi menyahut seruan tugasan kepada masyarakat. 

Mereka bertugas agar pengguna lebuh raya dapat tiba ke destinasi yang dituju dengan lancar dan selamat.

Jurutol 

Suriani Azzierah, 32, dan Hanili Hanis, 33, yang telah berkhidmat sebagai jurutol bersama Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak) lebih sedekad mengakui sedih meninggalkan keluarga menyambut Aidilfitri tanpa kelibat di rumah.

Namun begitu, perlu ditanam kecekalan dalam hati kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang harus dikotakan iaitu amanah kepada syarikat dan juga tanggungan yang terletak di bahu untuk disara.

“Saya fikir untuk cari rezeki, nak tak nak kena kuatkan juga, rasa sedih itu saya kena tempuh sebab saya ini adalah sumber pendapatan keluarga,” kata Suriani yang sudah enam kali beraya di perantauan.

Suriani Azzierah

Ketika yang lain beriang ria menyambut hari kemenangan umat Islam di pinggiran bandar, Suriani dan Hanili bertugas di plaza tol sambil memerhati kenderaan berlumba pulang ke pangkuan keluarga di serata tanah air.

Hanya rakan sejawat dan juadah raya di pejabat menjadi pengubat kepada jiwa yang berduka.

“Perasaan sedih berjauhan dengan keluarga itu akan hilang sedikit apabila kita bersama dengan kawan-kawan, akan rasa meriah, ada makanan raya yang disediakan katering seperti lemang, rendang dan ada kuih raya yang kami bawa sendiri.

“Suasana raya itu masih hidup walaupun tidak berada di rumah, raya pertama bertugas kami akan pakai baju raya lengkap dan pagi raya itu kita akan telefon dulu mak ayah, buat ucapan dan minta maaf, mereka pun dah faham lumrah tugasan anak mereka ini.

“Kemudian bila kena sambung kerja kita akan buat seperti biasa,” kata Hanili. 

Hanili Hanis

Mengimbau kenangan menyambut Aidilfitri pada tahun-tahun lalu dalam ‘kotak kubikal’ tol yang sudah seakan-akan rumah kedua mereka, Suraini dan Hanili menceritakan beberapa gelagat pengguna lebuh raya yang menyentuh hati. 

“Kadang-kadang mereka yang lalu tol tanpa mengira bangsa akan cakap selamat hari raya adik, ditanya tak balik raya ke, saya pun jawab tak dapat balik sebab kena kerja,” kata Suriani. 

“Saya juga pernah dapat duit raya dari pengguna lebuh raya, rasa gembira sangat sebab dapat duit raya dari orang yang tidak dikenali, macam rasa kita dapat beraya dengan mereka sekali,” tambah Hanili. 

Peronda

Kahar Aman, 51, dan Anuar Ismail, 54, merupakan anggota peronda yang dipertanggungjawabkan untuk memantau keadaan lebuh raya agar ia selamat digunakan pengguna. 

Sebagai manusia biasa, mereka tidak nafikan yang rasa sedih itu pasti wujud ketika bertugas di pagi raya tetapi mereka redha kerana ini adalah satu keperluan dalam skop pekerjaan mereka.

Selain itu, Kahar Aman dan Anuar Ismail juga berlapang dada kerana adanya sistem giliran.

Jika tahun ini tidak dapat beraya di rumah bersama keluarga kerana dipanggil bertugas, tahun depan pasti rezeki mereka pula.

“Saya beritahu keluarga saya kita ada sistem giliran, tahun ini mungkin bukan tahun kita tetapi tahun depan Insya-Allah boleh raya bersama. Jangan risau,” kata Anuar. 

“Macam saya dan dia (Anuar Ismail), tahun ini memang kami pilih untuk bertugas sewaktu hari raya sebab ramai kakitangan yang di bawah kami sudah dua tahun tak dapat balik beraya sebab Covid-19.

“Bagi peluang mereka dulu untuk beraya dengan keluarga, kami ini dah otai dan makan garam, sudah alah bisa, tegal biasa, tak kisah sangat nak beraya di perantauan ini, mereka yang baru ceburi kerjaya ini lagi memerlukan,” kata Kahar Aman. 

Kahar Aman

Bagaimanapun, hati kerasnya bertukar lembut apabila mendengar lagu klasik Aidilfitri karya figura ikonik, Salmah Ismail atau lebih mesra disapa sebagai Saloma. 

“Lagu Selamat Hari Raya nyanyian Saloma memang tidak pernah gagal untuk menusuk perasaan ini, saya dah biasa beraya berjauhan dari keluarga tetapi apabila lagu klasik raya diputarkan di corong radio, memang lemah terus rasa, nostalgia sangat. 

“Duduk dalam trak peronda sambil bertugas, lagu klasik raya menjadi peneman, memang melayan perasaan jadinya,” tambah Kahar Aman. 

Anuar pula berkata mereka perlu bertugas selama 16 jam sehari ketika musim perayaan dan malam sebelum raya adalah satu-satunya masa yang mereka ada untuk menghubungi ahli keluarga bagi melengkapkan tradisi sambutan Aidilfitri kerana selepas itu jadual mereka padat.

Anuar Ismail

“Malam sebelum raya melalui panggilan telefon kami akan bermaafan, kosong-kosong, ucapkan selamat hari raya, macam sesi bersalaman di pagi raya tetapi dari kejauhan dan diawalkan sedikit.

“Memang biasanya agak beremosi ketika itu, ada air mata jantan yang menitis,” katanya. 

Pemandu trak tunda

Redzuan Rasid, 32, yang berkecimpung dalam servis trak tunda selama hampir lapan tahun menyatakan sememangnya terasa berat untuk bekerja pada minggu pertama Aidilfitri. 

Tetapi atas rasa tanggungjawab dan simpati, tetap diteruskan juga. 

“Apabila pelanggan hubungi kita untuk dapatkan servis trak tunda pada hari raya, kita tahu yang mereka menyimpan satu harapan yang sangat tinggi untuk kita bantu mereka, mereka terdesak, tersadai di tepi jalan sampai tiga hingga empat jam. Terbantut mood raya mereka.

“Tak ramai yang sudi nak beroperasi pada hari raya, kita beraya pun setahun sekali sahaja, kalau ikutkan hati nak duduk rumah beraya dengan keluarga, tetapi apabila fikirkan pelanggan, kita gerak juga.

“Jika dibiarkan lama-lama, sangat bahaya, kemalangan boleh berlaku dekat kawasan lebuhraya ini, jalan tambah sesak lagi, padahal masalah kecil sahaja kereta rosak tepi jalan, sudah menyusahkan orang lain, ini perkara yang kita fikirkan bila nak keluar bantu,” katanya.

Redzuan Rasid

Redzuan menyifatkan dirinya seperti adiwira kerana sepanjang pengalamannya dalam bidang ini dia telah menunda kereta dari selatan ke utara semenanjung Malaysia, ratusan kilometer direntasi untuk membantu pelanggan yang dalam kesusahan. 

“Pelanggan sudah beli kereta mahal-mahal, mesti nak bawa kereta itu ke rumah semula, dibaiki di bengkel yang bertauliah dan dipercayai, tidak akan dibiarkan sahaja di tepi jalan, tetapi kalau kampung pelanggan itu di Kelantan dan rumahnya di Selangor, bayangkan,” kata Redzuan. 

Namun begitu, di sebalik kemurahan hatinya untuk menghulurkan bantuan, apabila bergemanya takbir raya dari pembesar suara dari menara masjid, perasaan Redzuan menjadi sebak.

“Kalau macam contoh saya sedang menunda kereta di Johor, bila dengar sahaja takbir raya, terus mencurah masuk kenangan lalu bersama keluarga, teringat mak dan ayah, teringat adik-beradik, rasa nak sangat berada di rumah waktu itu. Sayu betul hati ini rasa.

“Tetapi apakan daya, kita ada tugasan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu,” kata Redzuan penuh emosi.