Skip to main
Logo Malaysiakini

Kisah pelarian Uyghur, Omer Kanat 

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dilahirkan di bandar Ghulja, Turkestan Barat, dalam keluarga yang “didakwa” oleh kerajaan China, aktivis Uyghur Omer Kanat menghabiskan sebahagian besar hidup untuk berkongsi kisah duka masyarakatnya.

Bagi yang berada di luar diaspora Uyghur, Turkestan Barat dikenali sebagai Rantau Autonomi Uyghur, Xinjiang, tempat kerajaan China didakwa melakukan jenayah kemanusiaan dan pembersihan etnik Muslim.

“Bapa saya merengkok sembilan tahun dalam penjara China. Waktu ibu mengandung, kerajaan China tangkap dan bawa bapa saya ke penjara.

“Dia keluar bila umur saya sembilan tahun dan kemudian kami pindah ke Afghanistan,” kata Omer dalam wawancara dengan Malaysiakini dalam lawatannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penduduk Kashgar dalam kelas pendidikan China pada 2019, gambar hiasan.

Perjalanannya sebagai pelarian membawanya merentas Asia Tengah, Eropah dan Amerika Syarikat–di mana dia tinggal sekarang. 

Dan dia tiada lagi pilihan untuk pulang ke tanah air sendiri selepas dimasukkan dalam senarai hitam kerajaan China.

Namun, itu bukan pengalaman dia seorang. Ribuan lagi berkongsi kisah sama.

“Kami duduk lapan tahun di Afghanistan, di mana saya bersekolah.

“Tetapi selepas pencerobohan Soviet (pada tahun 1979), kami terpaksa tinggalkan Afghanistan untuk ke Iran.

“Kemudian dari Iran ke Turki, dari Turki ke Jerman dan dari Jerman ke AS pada tahun 1999,” katanya, mengenang kisahnya hidup dalam buangan.

Terlibat dalam kumpulan hak asasi

Omer pertama kali terlibat dengan kumpulan hak asasi manusia ketika zaman remaja di Turki sekitar 1980-an, didorong oleh pengalaman peribadi dan kebocoran maklumat berkaitan dakwaan penindasan di Xinjiang.

Menurut laporan, dianggarkan terdapat 12.8 juta penduduk Uyghur di Xinjiang. 

Kongres Uyghur Sedunia–persatuan yang menaungi kumpulan-kumpulan Uyghur–berkata hampir dua juta orang lagi menjadi diaspora pada penghujung 2020.

“Kebanyakan mereka masih di Xinjiang. Apa yang berlaku ialah pembersihan etnik, pembunuhan kaum.

“China tak benarkan orang Uyghur keluar dari negara itu. 

“China malah mengarahkan orang Uyghur di luar negara, ribuan pelajar, pulang ke kampung halaman kerana mereka takut kumpulan ini terlibat dengan kerja-kerja advokasi dan dedahkan apa yang berlaku,” katanya.

Kejiranan Turpan, Xinjiang, gambar hiasan

Di Mesir, kata Omer, kerajaan China mengumpulkan masyarakat Uyghur dan kerajaan Mesir menghantarnya pulang.

“Setiap keluarga yang ada saudara di luar negara hidup dalam bahaya. 

“Mereka hukum ibu bapa jika anak mereka tidak mahu pulang ke China.

“Mereka kata ‘kamu tak didik anak dengan semangat patriotik’ jadi mereka tidak mahu balik,” kata Omer.

Pada Julai tahun lepas, Pejabat Maklumat Majlis Negara China mengeluarkan kertas putih bertajuk “Menghormati dan Melindungi Hak Semua Kumpulan etnik di Xinjiang". 

Kertas putih itu mendakwa kerajaannya mendukung “pendekatan berpaksikan rakyat terhadap pelindungan hak asasi”.

Sementara itu, Omer berkata, diaspora Uyghur di luar negara terus memperturunkan budaya masyarakatnya kepada generasi baru, termasuk di AS di mana dia menjadi penduduk tetap yang mempunyai kerakyatan Turki.

Dua presiden terakhir AS–Joe Biden dan Donald Trump–mengecam tindakan China terhadap masyarakat Uyghur. 

Semasa pentadbiran Trump, Akta Dasar Hak Asasi Uyghur diperkenal.

Bagaimanapun, AS dilaporkan hanya mengeluarkan hanya satu permit kemasukan kepada pelarian Uyghur dari tahun 2019 hingga 2020. 

[Baca berita asal]