Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tahan 30 Rohingya di perairan Langkawi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tiga puluh pelarian Rohingya ditahan di Langkawi, Kedah semalam selepas bot mereka belayar berhampiran perairan negara.

Difahamkan, mereka tidak berniat untuk memasuki sempadan Malaysia, tetapi terpaksa berbuat demikian kerana bot itu kehabisan minyak, kata Ketua Polis Kedah, Pesuruhjaya Wan Hassan Wan Ahmad.

"Siasatan awal mendapati, seorang daripada pelarian terbabit mendakwa bot yang dinaiki mereka kehabisan minyak.

"Apabila ditanya, katanya bukan nak masuk ke Malaysia, tetapi alasan diberi kerana kehabisan minyak dan sebagainya, terpaksa mendarat atau merapat ke perairan Malaysia," katanya seperti dipetik Berita Harian..

Laporan itu turut menyatakan insiden tersebut berlaku 11.30 pagi semalam.

Polis Marin Langkawi dimaklumkan mengenai sebuah bot dinaiki 17 lelaki, sembilan wanita dan empat kanak-kanak sedang belayar ke perairan negara.

Mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Bukit Malut untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 63 Akta Imigresen 1963.

Wan Hassan berkata siasatan masih dijalankan, sambil menjelaskan pihak polis perlu mendapatkan bantuan masyarakat Rohingya di Malaysia untuk berkomunikasi dengan tahanan, kerana mereka tidak boleh bercakap dalam bahasa Melayu atau Inggeris.

Katanya, perintah telah dikeluarkan untuk mengetatkan kawalan keselamatan sempadan bagi mengelak lebih banyak cubaan penyeludupan pelarian ke negara ini.