Rancangan Selangor Satu dibentang di DUN Julai ini - Speaker
Pembentangan Rancangan Selangor Satu akan menjadi tumpuan utama pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-14 bermula 25 Julai depan.
Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim berkata rancangan pembangunan dan hala tuju dalam tempoh lima tahun negeri itu akan dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata menerusi Rancangan Selangor Satu, kerajaan negeri akan membuat rancangan khusus untuk hala tuju, pembangunan, sosioekonomi, kebudayaan, pendidikan dan sebagainya bagi Selangor.
“Ia hampir (sama) dengan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), RMK11 yang dilaksanakan di seluruh negara, tetapi Selangor dalam konteks tersendiri untuk fokus kepada pembangunan negeri.
“Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Selangor, sebagai sebuah negeri, kita buat rancangan yang khusus,” katanya kepada pemberita pada Jamuan Aidilfitri Menteri Besar Selangor di sini hari ini.
Sementara itu, Ng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan berkata pihaknya akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) terbaru persidangan dua minggu sebelum sidang DUN bermula memandangkan negara kini berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik.
“SOP kali ini, kita akan bincang dan teliti, jadi kali ini ia akan berbeza lagi, lebih terbuka. Mungkin saya akan cadangkan supaya semua kuorum penuh, tidak ada had, kehadiran dan sebagainya,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai