Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes di Sabah dijangka naik lepas Aidilfitri, Pesta Kaamatan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jumlah kes baru di Sabah dijangka bertambah selepas sambutan Aidilfitri dan Pesta Kaamatan berdasarkan maklumat daripada Kementerian Kesihatan (KKM), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Seri Masidi Manjun.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu bagaimanapun berkata peningkatan kes Covid-19 tersebut boleh dikurangkan jika orang ramai mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa menyambut kedua-dua perayaan berkenaan.

"Patuhi semua saranan KKM termasuk penggunaan pelitup muka walaupun tidak lagi mandatori di ruang terbuka.

"Data kajian dalam beberapa bulan ini menunjukkan majoriti kes baru di Sabah berpunca daripada jangkitan sporadik.

"Atas sebab inilah kita amat menyarankan agar orang ramai terus menggunakan pelitup muka semasa berada di khalayak ramai seperti majlis-majlis sambutan dan perayaan," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata situasi Covid-19 di Sabah hari ini kekal terkawal dengan hanya 12 jangkitan baru, susut dua kes berbanding angka semalam.

"Tidak ada jangkitan baru dilaporkan di 22 daripada 27 daerah di Sabah sepanjang 24 jam lepas," katanya.

- Bernama