Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenali siapa Haris Ibrahim

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bagi mereka yang mengikuti kebangkitan politik Malaysia yang dicetuskan oleh Reformasi pada tahun 1998 dan diikuti dengan perhimpunan Bersih serta 'tsunami' 2008, nama Haris Ibrahim tidak perlu diperkenalkan.

Ketika portal dalam talian seperti Malaysiakini, blog politik dan aplikasi media sosial seperti Twitter, baru bertapak, dia adalah pelopor yang sering mengketengahkan suara mengenai kekecewaan yang dirasai semakin ramai rakyat Malaysia ketika itu. Ini termasuk keadaan terdesak mereka di bawah sistem yang menindas. dan mengamalkan sistem rasuah serta perkauman.

Kini setelah lebih dua dekad berlalu, Haris berdepan pertarungan yang sangat berbeza. Pada usia 63 tahun pada 4 April lalu, dia disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.

Keluarga dan rakan-rakan Haris telah menjalankan kutipan dana untuk membantu kos rawatan perubatannya, tetapi hakikatnya ada kemungkinan bahawa dia hanya mempunyai masa tiga bulan untuk hidup.

Apabila Malaysiakini berjumpa dengan Haris minggu lalu, dia baru sahaja memulakan rawatan dan optimistik dengan cabaran yang menanti.

“Tiada apa-apa yang sebegitu menggembirakan seperti pada malam 9 Mei. Selepas bertahun-tahun, kita diberitahu bahawa tidak mungkin kita boleh boleh menjatuhkan Umno dan BN - mereka terlalu kuat, akhirnya rakyat bersatu dan melakukan apa yang dianggap adalah mustahil.

“Bagi saya, perasaan itu tidak dapat digambarkan. Ia adalah kemuncak penat lelah kita tetapi cukup menggembirakan,” katanya.

Haris, yang adalah seorang peguam, juga merupakan pengasas pergerakan ‘Asalkan Bukan Umno’ atau ABU dan menulis di blog ‘Parlimen Rakyat’.

Tahun 2018 mungkin tahun yang paling bersejarah, tetapi dia juga aktif dalam tsunami politik 2008.

“Pada 2008, tak silap saya Khairy Jamaluddin dan Khir Toyo dari Umno yang berkata mereka akan memastikan ‘pembangkang sifar’ di negara ini. Mereka silap kerana memandang rendah media sosial.

“Media sosial semakin berpengaruh dan pada masa sama, ada generasi muda yang tidak diambil kisah dengan momokan Mei 1969. Mood untuk berubah begitu kuat.

“Semuanya berjalan lancar tanpa sebarang usaha yang dirancang. Saya masih ingat sebelum pilihan raya, masyarakat sivil datang dengan dua dokumen - 'deklarasi rakyat' dan 'suara rakyat' dan parti pembangkang menerimanya. Banyak perkara yang berlaku dan menoleh ke belakang, ia adalah bayangan pilihan raya 2018,” katanya.

Di sebalik dikaitkan dengan pembangkang dan penentangannya terhadap pemerintahan Umno, Harizs tidak pernah menyertai mana-mana parti.

“Baru minggu ini (Ahli Parlimen Seremban) Anthony Loke singgah dan kami bergurau kerana, pada 2008, Lim Guan Eng menelefon saya dari Pulau Pinang, suaranya parau akibat banyak berceramah dan beritahu saya kami perlukan seorang lagi calon untuk satu lagi kerusi DUN. Sertai kami dan jika menang, saya jamin kamu akan jadi exco.

“Saya beritahu dia, nanti dulu. Pasukan saya di sana, saya berunding dan mereka semua beritahu saya untuk kata tidak.

“Saya beritahunya ‘Haris akan sentiasa jadi pemerhati rakyat’. Saya tidak akan bertanding,” kata Haris sambil ketawa.

Dia mengaku agak kecewa dengan keadaan yang berlaku sehingga hampir bertanding pada PRU14 sebagai calon bebas. Hanya sabitan sebelum itu mengikut Akta Hasutan menghalangnya.

“Saya sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan. Lapan bulan itu diketepikan tetapi saya terpaksa membayar denda RM4,000, ini menghalang saya daripada menjadi calon,” katanya.

Haris dilahirkan pada 4 April 1959, di Batu Gajah, Perak. Kedua-dua, ibu dan bapanya, adalah guru. Dia mempunyai tujuh adik beradik dan dua orang anak.

“Nama penuh saya Haris Fadillah Sam Sathiasingam bin Mohd Ibrahim. Ibu saya keturunan Tamil Sri Lanka, dan dia tidak pernah mahu kami melupakan asal usul kami. Kita semua juga mempunyai nama Tamil.

“Saya tak setuju dengan tanggapan bahawa nilai kerakyatan saya lebih tinggi daripada yang lain kerana ada darah Melayu.

“Biar saya nyatakan dengan tegas bahawa saya adalah rakyat Malaysia. Darah Melayu saya dalam hal ini tidak ada kaitan sama sekali.

“Sebagai seorang yang berpegang teguh kepada al-Quran, saya tidak boleh berpura-pura bahawa tidak ada ketidakadilan dalam dasar kerajaan yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan dengan hanya membantu hanya satu golongan berdasarkan pertimbangan perkauman.

“Dasar sebegitu jelas adalah salah mengikut ajaran Islam, seperti yang saya faham, bahawa semua manusia adalah sama,” katanya.

Haris adalah antara pelopor blogger yang termasuk Raja Petra Kamarrudin, manakala Azhar (Art) Harun pula menyertai sedikit kemudian.

[Baca berita penuh]