Skip to main
Logo Malaysiakini

DJ Stanley Rentap tawar diri terajui cabang PKR Hulu Rajang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selama bertahun-tahun Wing Miku, sebelum ini, lebih dikenali dengan nama pahlawan terkenal Sarawak "Stanley Rentap" ketika bertugas sebagai deejay (DJ) di projek media bebas Radio Free Sarawak (RFS).

Bagaimanapun, awal bulan ini, dia mengambil langkah besar dengan memasuki ke gelanggang politik untuk bertanding jawatan ketua cabang PKR Hulu Rajang.

Jika berjaya, dia mungkin akan diberikan tugas untuk mewakili PKR bertanding di kerusi Hulu Rajang.

Hulu Rajang ialah kawasan parlimen terbesar dari segi saiz di Malaysia, dan Wing adalah keturunan kaum Kayan dan Punan yang menghuni wilayah yang jarang penduduknya, tetapi terjejas teruk akibat pembalakan dan kemusnahan dan eksploitasi lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Cabaran bagi sesiapa yang ingin berkempen merentasi kawasan yang luas itu adalah benar-benar menakutkan. Bagaimanapun, sebagai anak kelahiran tempatan dari susur galur aktivis, dia menganggap dirinya ditakdirkan untuk tugas itu.

"Ayah saya seorang pesara kerajaan, kini berusia 78 tahun. Dia aktif dalam kerajaan sejak kecil. Jawatan terakhirnya ialah penyelia kanan di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas). Dia dipindahkan ke beberapa tempat sebelum bersara kerana disyaki tidak menyokong kerajaan.

"Kami dipindahkan ke kawasan parlimen Julau ketika saya di tingkatan 4, sebab itu saya juga fasih berbahasa Iban. Ayah saya tetap berpegang kepada prinsip menentang dasar kerajaan yang tidak betul," katanya.

Sepanjang beberapa minggu lalu, dia telah bertemu dan mendengar masalah masyarakat setempat dan mengemukakan kesnya sendiri. Katanya, dia menempuh jalan sukar, menaiki bot dan berjalan kaki, tidak seperti ahli politik parti kerajaan yang mempunyai helikopter.

"Saya habiskan masa sedekad mempromosikan demokrasi dan memujuk rakyat untuk melakukan perubahan melalui pilihan raya. Kemuncaknya ialah kemenangan Pakatan Harapan ke atas BN pada pilihan raya 2018.

“Namun, selepas PH digulingkan, orang ramai mula hilang kepercayaan untuk mengundi untuk perubahan. Ini menjelaskan apa yang berlaku dalam empat pilihan raya negeri di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor.

"Jadi, saya rasa ini adalah masa yang mencabar, bercakap melalui saluran radio sahaja tidak memadai. Saya rasa saya terpaksa turun padang, bercakap di pentas terbuka," katanya.

Isu di Hulu Rajang

Selama bertahun-tahun RFS terpaksa beroperasi secara rahsia untuk mengelakkan gangguan, dan akhirnya bergerak dalam talian. Wing dan rakan-rakannya bergelut untuk memastikan siaran harian berjalan seperti lazimnya semasa tempoh PKP.

Bagaimanapun, Wing percaya pengalamannya di projek radio itu telah memberinya kemahiran dan pemahaman untuk membawanya ke hadapan.

"Faedah terbesar bekerja di RFS ialah berpeluang menemuduga sesiapa sahaja. Tidak kira pangkat atau jawatan. Tidak kira dari parti politik mana, asalkan ada isu yang perlu diketengahkan. Jika ada sesuatu yang menjejaskan hak kita, RFS membenarkan kita bersuara.

"Sudah tentu ada ugutan daripada pihak berkuasa, tetapi kerajaan harus berterima kasih kepada RFS kerana mendedahkan masalah yang dihadapi oleh kaum minoriti di pedalaman Sarawak."

Kawasan Hulu Rajang, kata Wing, berdepan masalah yang sukar dibayangkan di tempat lain. Dia berkata tarif elektrik untuk beberapa lokasi terpencil adalah jauh lebih tinggi daripada untuk kegunaan industri.

Tiga empangan mega - Baleh, Murum dan Bakun - juga terletak di kawasan itu, yang telah menyebabkan ramai penduduk tempatan kehilangan tempat tinggal dan kesukaran.

"Ladang kelapa sawit diterokai secara besar-besaran namun majoriti pekerja adalah dari negara jiran Indonesia. Aktiviti pembalakan masih aktif, tetapi faedahnya tidak pernah kami dapat.

“Tiada siapa yang pernah didakwa kerana pembalakan haram. Penjenayah alam sekitar berkeliaran bebas.

"Ukuran kesejahteraan penduduk luar bandar bergantung kepada kemudahan asas yang disediakan kerajaan. Hulu Rajang tidak mempunyai hospital. Jalan ke kebanyakan rumah panjang masih tidak wujud," katanya.

Pemilihan kepimpinan PKR bermula pada 13 Mei, dan ahli parti di Sarawak akan mengundi secara fizikal pada 22 Mei.

[Baca berita penuh]