Skip to main
Logo Malaysiakini

MCA: Biar pengundi tentukan siapa 'katak politik' bukan pemimpin parti

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Biarkan pengundi yang menentukan nasib ahli parlimen "berpaling tadah" melalui pilihan raya semula dan bukannya parti politik, kata Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon.

Kenyataannya hari ini dibuat ketika kerajaan sedang bergelut untuk memperhalusi definisi lompat parti.

Chong (gambr judul, atas) membangkitkan kebimbangannya tentang definisi lompat parti yang terlalu luas, dengan ahli parlimen yang meninggalkan parti akan dianggap telah berpaling tadah tanpa mengira bentuk atau alasan.

“Dengan kata lain, mana-mana ahli parlimen yang dipecat daripada parti secara tidak sengaja akan ditakrifkan sebagai ‘melompat parti’ dan pilihan raya akan diadakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kes ini, dia berkata undang-undang antilompat mungkin digunakan untuk memberi laluan kepada pilihan raya semula apabila pemimpin parti memecat mana-mana anggotanya (ahli parlimen, Adun) yang tidak disukainya.

MP boleh jadi ‘pak turut parti’

“Ini sudah pasti cara berselindung untuk memberikan lebih banyak kuasa kepada pemimpin parti, menyebabkan wakil rakyat dikawal oleh pemimpin mereka.

"Walaupun ini demi keadilan dan kepentingan awam, penggubal undang-undang mungkin tidak mahu bertentangan dengan kehendak kepimpinan untuk mengelakkan daripada dipecat daripada parti.

"Ahli parlimen itu akan menjadi 'pak turut' kepada parti. Ini pelanggaran yang jelas terhadap prinsip demokrasi," kata bekas senator itu.

“Tetapi bagaimana kita mampu membendung budaya lompat parti tanpa menjejaskan kebebasan berpersatuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?

“Sebenarnya ia mudah. Kita hanya memberi kuasa menangani pembelot kepada orang ramai, bukannya parti politik.

"Wakil rakyat dipilih oleh pengundi dan mereka harus bertanggungjawab kepada pengundi," tambah Chong.

Rang undang-undang antilompat yang dijadual dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada 11 April lalu, telah ditangguhkan sekali lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar, atas) berkata penangguhan perundangan itu berlaku kerana penggubal undang-undang gagal mencapai persetujuan mengenai peruntukan tertentu dalam RUU itu.

Pembentangan rang undang-undang itu telah pun ditangguhkan sekali sebelum ini.

Ia pada asalnya dijadualkan untuk bacaan pertamanya di Dewan Rakyat pada 24 Mac.

[Baca berita penuh]