MP gesa sidang khas parlimen sokong kehakiman
Putrajaya digesa mengadakan sidang khas Dewan Rakyat bagi menangani dakwaan "serangan" yang berterusan terhadap badan kehakiman.
Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran berkata sidang khas itu akan membolehkan ahli parlimen membahaskan dan menerima pakai resolusi semua parti untuk menyatakan kebimbangan terhadap "serangan" terhadap badan kehakiman serta menegakkan prinsip pengasingan kuasa dan keyakinan terhadap badan kehakiman. .
"Ahli parlimen kerajaan akan mempunyai peluang untuk mengatakan bahawa ia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang cubaan untuk menjejaskan keyakinan badan kehakiman kita kerana sikap membisu secara mutlak menunjukkan ketidakikhlasan mereka terhadap MOU," katanya.
Menurut Kulasegaran (gambar judul, atas), walaupun Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan melarang parlimen membincangkan kelakuan hakim, terdapat peruntukan untuk memintasi undang-undang ini melalui usul tidak kurang daripada satu perempat daripada semua ahli parlimen.
MOU yang disebut Kula itu merujuk kepada perjanjian keyakinan dan perbekalan antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan.
Antara lain, Ismail Sabri berikrar untuk mempertahankan kebebasan badan kehakiman sebagai pertukaran mendapat sokongan bersyarat daripada PH.
Kulasegaran merujuk kepada beberapa siri kejadian yang membawa kepada pihak berkuasa menyiasat Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Nazlan sejak itu membuat laporan polis menafikan dia terlibat dalam sebarang salah laku.
Nazlan terkenal sebagai hakim perbicaraan yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak bersalah dalam kes pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan jenayah pecah amanah melibatkan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.
Najib kini merayu sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta di Mahkamah Persekutuan.
Siasatan berterusan oleh polis dan SPRM terhadap Nazlan telah mendorong pengkritik mendakwa terdapat campur tangan terhadap kehakiman.
Badan Peguam Malaysia sedang mengatur mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membincangkan perkara itu dan kemungkinan mengadakan bantahan perarakan "Demi Keadilan" (Walk For Justice).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai