Wanita maut dipukul suami lepas dedah hubungan sulit di media sosial
Seorang wanita maut akibat dipukul suaminya dipercayai kerana memuat naik di media sosial bahawa lelaki itu mempunyai hubungan sulit, dalam kejadian di sebuah flat di Cheras sehari sebelum Aidilfitri.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata mangsa berusia 28 tahun itu dipercayai dipukul dengan tangan dan kaki serta senjata tumpul sehingga menyebabkan kematiannya.
Dia berkata sehubungan itu, suami mangsa yang berusia 38 tahun telah ditahan pada hari sama (Ahad) di rumahnya itu susulan laporan yang diterima daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Kajang.
“Pada 9.16 pagi 1 Mei, polis telah menerima laporan daripada pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Kajang menyatakan telah terima wanita berusia 28 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri yang telah dihantar oleh suaminya ke hospital itu. Wanita itu kemudian disahkan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mohd Zaid berkata pemeriksaan luaran ke atas wanita itu oleh pegawai perubatan berkenaan mendapati terdapat kesan lebam di beberapa anggota badan dan didapati kematian itu mencurigakan.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan abdomen disebabkan hentakan kuat dengan menggunakan senjata tumpul.
“Motif pembunuhan adalah suspek marah terhadap mangsa disebabkan mangsa telah memuat naik di media sosial bahawa suspek mempunyai hubungan sulit,” katanya.
Dia berkata kes telah dirujuk kepada pihak pendakwa raya dan suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kajang, Isnin ini.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai