Skip to main
Logo Malaysiakini

Moratorium ladang hutan: K'jaan tak beri gambaran penuh - Husam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Husam Musa mendakwa kerajaan tidak memberikan gambaran penuh berhubung pelaksanaan Moratarium Kelulusan Baru Penubuhan Ladang Hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun.

Husam berkata sebelum moratorium itu diputuskan, seluas 127,050 hektar hutan simpan kekal telah diluluskan untuk dijadikan ladang tetapi masih belum dilesenkan.

Dia mempersoalkan adakah pelesenan akan diteruskan walaupun dengan pelaksanaan moratorium tersebut.

“127,050.25 hektar masih berbaki ini menunggu masa untuk dilicinkan seperti padang jarak padang tekukur atas nama membangunkan ladang hutan, kerana ia telah diluluskan sebagai Zon Ladang Hutan dalam Hutan Simpan Kekal,” kata Husam yang juga bekas anggota exco kanan negeri Kelantan dalam kenyataan.

Dia juga membangkitkan berkenaan moratorium tersebut yang baru lima bulan dilaksanakan, iaitu sejak Disember 2021.

Oleh itu, jelasnya, dalam tempoh tersebut pastinya tiada negeri yang sudah melanggar had yang ditetapkan.

Semalam, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan berkata setakat ini tiada negeri dilaporkan melangkaui Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan kerajaan dan mengeluarkan lesen baharu bagi projek ladang hutan.

Takiyuddin berkata tiada lagi ladang hutan baru yang dikesan diberikan lesen oleh mana-mana negeri susulan pelaksanaan moratorium tersebut.

Dia juga menyifatkan kerajaan bertindak proaktif dan sentiasa memberi tumpuan untuk melindungi khazanah alam negara.

Pelaksanaan "ladang hutan" selalunya melibatkan penebangan hutan untuk digantikan dengan pokok getah atau durian dikecam sebagai bertentangan dengan tujuan pewartaan hutan simpan kekal.

Dalam pada itu, Husam yang juga bekas naib presiden Amanah mempersoalkan adakah suatu kawasan itu masih boleh dianggap sebagai hutan simpan kekal apabila hutan asal digantikan dengan ladang.

Dia menggesa kerajaan menyediakan data terperinci mengenai penebangan hutan simpan kekal untuk dijadikan ladang.

Dia turut mengulangi gesaan Sahabat Alam Malaysia untuk memansuhkan pewujudan ladang hutan dalam hutan simpan kekal di semenanjung Malaysia.