Skip to main
Logo Malaysiakini

Fahmi kesal dengan UM lepas lokasi debat Anwar-Najib diubah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Calon ketua pemuda PKR Fahmi Zainol meluahkan rasa kesal dengan perubahan lokasi bagi debat antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dengan bekas perdana menteri, Najib Razak.

bekas aktivis mahasiswa itu mendakwa pihak Universiti Malaya cuba menggagalkan usaha Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM) untuk menganjurkan debat tersebut di Dewan Tunku Canselor (DTC) di universiti itu.

“Saya berasa cukup terkilan dengan halangan yang dikenakan terhadap usaha KMUM untuk menganjurkan debat bersama-sama dengan penganjur utama yang lain di Universiti Malaya, sebuah institusi yang seharusnya menjadi platform bagi merancakkan penganjuran wacana, pertukaran idea dan forum yang boleh memanfaatkan masyarakat keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, dimaklumkan debat antara Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Najib Razak akan diadakan di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (Matic) di Kuala Lumpur.

Debat itu akan diadakan pada jam sembilan malam pada 12 Mei ini dan akan disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial.

Ini kali pertama Anwar dan Najib bersemuka dalam debat terbuka.

Mereka dijangka menyentuh dua perkara - pertama, sama ada kerajaan patut membantu Sapura Energy Berhad yang berdepan masalah dan kedua berkenaan hala tuju dan masa depan ekonomi dan politik negara.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata tindakan tersebut bertentangan dengan semangat kebebasan akademik dan menjadi contoh yang buruk.

Fahmi merupakan bekas pelajar UM dan pernah digantung pada 2014 kerana menganjurkan perhimpunan yang menampilkan Anwar.

"Pendirian saya adalah kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang usaha untuk menyekat kebebasan berakademik di kampus," katanya.