Shahril: Kenapa Muhyiddin hanya bersuara lepas hilang kuasa?
Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan mempersoalkan mengapa bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin membuat dakwaan berkenaan campur tangan dalam badan kehakiman hanya setelah dia kehilangan kuasa.
Shahril mengulas dakwaan berulang kali Muhyiddin bahawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memintanya sebagai perdana menteri pada 2020 untuk campur tangan dalam kes terhadapnya.
"Jika ia berlaku pada permulaan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti didakwa Muhyiddin, kenapa dia hanya buka cerita ini semasa tempoh PRN Johor iaitu dua tahun selepas itu?
"Kenapa hanya apabila ditekan oleh Umno, (Muhyiddin) keluarkan cerita-cerita sebegini?" soalnya.
Bagi Shahril, Muhyiddin hanya membuat dakwaan itu apabila dia tiada lagi kepentingan dengan Umno.
Muhyiddin menjadi perdana menteri selepas membawa keluar Bersatu yang dipimpinnya daripada PH, seterusnya menjatuhkan pentadbiran gabungan itu.
Dia mengangkat sumpah jawatan pada Mac 2020 tetapi pentadbirannya runtuh setelah sekumpulan ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadapnya pada Ogos 2021.
"Bila Umno bantu pinjamkan majoriti (kepada Muhyiddin), tiada bunyi. Bila nampak Umno tak lagi mahu bersama, lain pula.
"Dalam erti kata lain, sama ada ini cerita rekaan atau dia pentingkan jawatan sebagai perdana menteri. Pilihlah yang mana satu," kata Shahril.
Mengulas lanjut, dia berkata Zahid telah memimpin Umno ke arah kemenangan setelah kekalahan pada PRU14.
Atas sebab ini, katanya lagi, musuh Umno kini "tidak senang duduk dan melempar pelbagai tuduhan" kepada Zahid walaupun dia belum disabitkan kesalahan.
Zahid berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan rasuah melibatkaan jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi yang ditubuhkannya.
Dia juga berdepan 40 pertuduhan rasuah melibatkan lebih RM43 juta berkaitan Sistem Visa Luar Negara.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai