Skip to main
Logo Malaysiakini

Gabungan kesihatan gesa KKM ambil langkah tegas tangani buli, diskriminasi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Susulan kematian seorang doktor pelatih di Pulau Pinang, Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) mengingatkan Kementerian Kesihatan tentang tanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran kerja yang sihat di hospital dan klinik awam.

"Kami ingin mengingatkan semua rakyat Malaysia bahawa profesional kesihatan kita mengalami tekanan yang tinggi semasa pandemik Covid-19.

"Keadaan menjadi semakin buruk disebabkan tekanan sedia ada yang telah wujud sebelum pandemik akibat daripada sistern penjagaan kesihatan awam yang terbeban, serta kekurangan kakitangan dan dana.

“Sekiranya tekanan ini tidak ditangani dengan baik, kesejahteraan dan kualiti kerja petugas kesihatan bakal terjejas. Hal ini akan turut memberi impak kepada penjagaan pesakit.

“Justeru, kami menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengambil tindakan tegas bagi menjamin tempat kerja yang sihat di hospital dan klinik kesihatan awam. Kita memerlukan budaya kerja positif yang menolak aktiviti membuli dan diskriminasi untuk menggalakkan pembelajaran, pembangunan dan peningkatan kualiti modal insan,” kata MHC dalam satu kenyataan hari ini.

MHC menyifatkan ia sebagai gabungan tanpa keberpihakan politik yang dianggotai persatuan profesional kesihatan Malaysia, profesional kesihatan dan warganegara yang berdedikasi untuk meningkatkan kualiti kesihatan rakyat Malaysia dan mengukuhkan sistem kesihatan Malaysia.

“Walaupun kami memahami bahawa petugas kesihatan baru harus bekerja melebihi tempoh masa purata untuk mempelajari kemahiran dan membina kecekapan, kami menuntut keseimbangan yang menjamin kesejahteraan dan kesihatan mental mereka.

“Golongan lebih berpengalaman harus mengajar, memberi inspirasi dan motivasi kepada golongan baru tanpa kekasaran. Golongan pakar pula bertanggungjawab dalam menjamin tempat kerja yang selamat dan membendung tingkah laku yang bersifat toksik di tempat kerja," kata MHC.

Ia berkata bahawa profesional kesihatan mesti dimaklumkan tentang sumber yang tersedia untuk mereka mendapatkan sokongan, dan semua maklum balas mesti diterima dan disiasat tanpa rasa takut akan kesannya.

MHC mengalu-alukan penubuhan pasukan petugas untuk menyiasat kematian doktor pelatih itu, seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy pada Jumaat berkata bahawa dia telah menerima laporan awal mengenai kematian doktor pelatih itu daripada ketua jabatan.

Buat masa ini, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai "kematian mengejut" dan laporan perubatan penuh masih belum tersedia.