Skip to main
Logo Malaysiakini

AG digesa jelaskan asas penyelesaian saman Apandi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peguam Negara Idrus Harun perlu menjelaskan kepada orang awam apakah asas penyelesaian saman bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali berhubung penamatan kontraknya sebagai peguam negara.

Anggota dewan undangan negeri (Adun) Permatang Pasir Faiz Fadzil berkata penjelasan ini adalah penting kerana kes berkenaan sepatutnya menjadi duluan (judicial precedent) kepada kes-kes lain melibatkan lantikan perlembagaan termasuk lantikan politik.

"Apakah prinsip dan kaedah yang seharusnya diambil kira dalam menamatkan jawatan perlembagaan seperti peguam negara kerana ia penting sebagai panduan bagi mana-mana kerajaan selepas ini untuk bertindak supaya tiada pelanggaran atau kesalahan berlaku.

"Oleh itu, sama ada penamatan kontrak peguam negara mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 145 perlu dijelaskan oleh peguam negara," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, kes saman Mohamed Apandi ke atas kerajaan berhubung penamatan perkhidmatannya sebagai peguam negara berjaya diselesaikan secara baik.

Peguamnya Baljit Singh Sidhu mengesahkan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir merekodkan penyelesaian semasa pengurusan kes itu.

“Tanpa prejudis, kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan saman ini tanpa pengakuan liabiliti. Syarat penyelesaian kekal sulit.

"Kes dibatalkan tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula dan tanpa perintah untuk kos," kata peguam itu.

Sebagai rekod pada 13 Oktober 2020, Apandi memfailkan saman menamakan Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai AG yang dibuat semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 adalah tidak sah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Apandi yang merupakan hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai peguam negara pada 2015, juga menuntut perisytiharan bahawa defendan pertama telah menyalahgunakan kedudukannya dan bahawa defendan pertama telah mendorong berlakunya pelanggaran kontrak di antara beliau dan kerajaan Malaysia.

Dia juga memohon perisytiharan bahawa wujud kegagalan pematuhan terhadap Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dalam pemecatannya dan bahawa pemecatannya sebagai AG adalah tidak mengikut undang-undang, dan oleh itu tidak sah.

Apandi memohon ganti rugi khas sebanyak RM2,233,599.36, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan/atau punitif, kos dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Bagaimanapun, menerusi penyataan pembelaan yang difailkan pada November 2020, Mahathir dan kerajaan menegaskan bahawa penamatan kontrak itu adalah sah sah serta mengikut peruntukan perlembagaan persekutuan.

Sementara itu Faiz menegaskan peguam negara juga perlu membuat penjelasan terma penyelesaian ini kerana jika ia melibatkan bayaran pampasan, ia melibatkan wang rakyat kerana dibayar oleh kerajaan Malaysia.

Katanya, walaupun penyelesaian ini dibuat tanpa pengakuan kepada liabiliti, peguam negara bertanggungjawab kepada orang awam selaku pembayar cukai untuk mendedahkan jumlah pampasan yang terlibat dan apakah kaedah yang digunakan sebagai asas pengiraan pampasan.

"Penjelasan peguam negara berkaitan isu ini penting atas prinsip akauntabiliti dan keadilan kerana kes ini melibatkan kepentingan umum dan seharusnya orang awam mengetahui terma penyelesaian saman tersebut.

"Apabila Apandi menyaman kerajaan Malaysia atas kapasiti sebagai bekas Peguam Negara, maka kes ini adalah satu kes berkepentingan umum dan bukannya kes persendirian. Lagipun, telah menjadi satu persepsi umum bahawa penyelesaian kes ini dilihat sebagai satu pengakuan kerajaan bahawa penamatan kontrak peguam negara terdahulu dianggap tidak sah.

"Keadilan perlu dilihat dilaksanakan dan oleh itu, penjelasan oleh Peguam Negara penting supaya keadilan kepada rakyat dan keluhuran undang-undang (rule of law) ditegakkan," katanya yang juga seorang peguam.