Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tahan seorang individu bagi bantu kes tampar OKU

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipercayai ditampar dan dibuli di kawasan Taman Tasik Taiping, di Perak semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata suspek yang tidak bekerja berumur 22 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada 10.45 malam tadi.

“Suspek ditahan reman tiga hari mulai hari ini hingga Selasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, polis mengesan satu video berdurasi seminit dua saat yang ditularkan di laman sosial Facebook bertajuk ‘Budak OKU lelaki Melayu kena tampar dan dibuli di Taman Tasik Taiping’.

Ekoran daripada penularan video tersebut, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Osman berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa berumur 13 tahun seorang diri beriadah menggunakan basikal di taman itu dan motif kejadian berpunca apabila suspek ingin meminjam basikal milik mangsa.

Beliau berkata mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan siasatan sedang diteruskan.

- Bernama