Ismail Sabri ketuai delegasi M'sia ke sidang kemuncak Asean AS di Washington
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Khas Asean-Amerika Syarikat (Asean-US Special Summit) di Washingston DC, pada 12 dan 13 Mei.
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata selain beliau, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan juga akan mengiringi perdana menteri ke persidangan khas itu.
Persidangan akan bermula dengan beberapa siri pertemuan pada 12 Mei dengan kemuncak pertemuan adalah pada pukul 3 petang 13 Mei, apabila Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengadakan pertemuan dan mesyuarat dengan ketua-ketua kerajaan Asean.
Menurut Saifuddin, perdana menteri dijangka mengutarakan beberapa isu serantau seperti Myanmar dan isu-isu antarabangsa lain dalam persidangan itu.
"Malaysia anggap pertemuan ini penting sebab Amerika Syarikat adalah salah sebuah negara dialog Asean," katanya dalam wawancara khas bersama beberapa media tempatan di pejabatnya di sini pada Sabtu.
Selain Presiden Fiilipina Rodrigo Duterte dan ketua junta Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hliang, kesemua lapan lagi ketua kerajaan negara-negara Asean akan menyertai Sidang Kemuncak Khas itu.
Duterte tidak dapat hadir kerana proses pilihanraya negara itu minggu depan manakala ketua junta Myanmar itu tidak dijemput berikutan pergolakan politik dalaman negara itu.
Kali terakhir Amerika Syarikat menjadi tuan rumah kepada persidangan khas itu adalah pada Feb 2016 di Sunnylands, California.
Pada Mac 2020, ia sepatutnya diadakan di Las Vegas tetapi dibatalkan berikutan pandemik global Covid-19.
Menurut laman web Asean, Amerika Syarikat terus kekal sebagai rakan dagang penting Asean dengan perdagangan dua hala pada 2020 dengan nilai dagangan capai AS$308.3 bilion, menjdikan negara itu rakan dagang kedua terbesar Asean di kalangan rakan-rakan dialog.
Amerika Syarikat juga merupakan sumber terbesar Pelaburan Langsung Asing (FDI) pada 2020 dengan aliran masuk pelaburan berjumlah AS$34.7 bilion.
Asean yang ditubuhkan pada 1967 dianggotai oleh Malaysia, Brunei, Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Kemboja adalah Pengerusi Asean untuk 2022 manakala Indonesia merupakan negara koordinator Asean dan Amerika Syarikat.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai