Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Isu buli: Teliti semula garis panduan gangguan tempat kerja

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Pada 6 May 2022, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah mengumumkan agar satu Pasukan Bertindak Bebas atau Independent Task Force ditubuhkan bagi menyiasat kes kematian seorang doktor pelatih yang didakwa dibuli semasa bertugas di Hospital Pulau Pinang pada 17 April lalu.

Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (Malaysian Society for Occupational Safety and Health atau MSOSH) menyambut baik langkah berkenaan.

Selain itu, MSOSH juga menghargai ketegasan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan beliau semalam bahawa budaya buli dalam kalangan doktor pelatih tidak boleh dikompromi.

Pada hemat MSOSH, kes buli doktor pelatih mesti ditangani dengan menyeluruh kerana ia telah kerap kali dilaporkan pihak media secara terbuka sebelum ini.

Malangnya tiada penyelesaian tuntas dapat diketengahkan pihak berwajib bagi membendung perkara ini.

Risiko kompleks dalam sektor kesihatan

Perlu dijelaskan bahawa risiko keselamatan dan kesihatan pekerja (KKP) di dalam sektor kesihatan adalah sangat kompleks dan berpunca sekurang-kurangnya daripada dua elemen.

Pertama adalah keletihan (fatigue) disebabkan tekanan mental yang tinggi dan tempoh pekerjaan yang lama. Perlu diingatkan tekanan serta keletihan ini adalah lebih tinggi semenjak tahun 2020 kerana pandemik Covid-19.

Kedua, masalah yang datang daripada suasana dan budaya kerja buli seperti yang didakwa pelbagai pihak, di mana doktor atau doktor muda akan menerima tekanan mental yang berupaya menghasilkan Hazard Psikososial di dalam diri doktor dan rakan sekerja.

Kedua-dua bahaya atau hazard ini perlu ditangani secara bersama atau pakej dan bukan berasingan mahupun bermusim.

Akta, garis panduan dan kempen KKP telah sedia ada

Pada Februari 2020, satu kempen yang dinamakan National Fatigue Management Awareness Campaign telah dilancarkan bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sumber Manusia di mana suatu ikrar Komitmen Pengurusan Kelesuan Di Kalangan Anggota Kesihatan telah ditandatangani kedua-dua kementerian.

Penekanan ikrar adalah ke arah memastikan organisasi yang ditadbir KKM mematuhi Dasar Keselamatan KKP Negara serta Akta KKP 1994, selain memastikan keselamatan dan kesihatan fizikal, mental dan psikososial anggota organisasi.

Selain itu, perlu difahami bahawa Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 telah menggariskan dengan jelas bahawa sektor kerajaan adalah tertakluk kepada akta tersebut.

Di dalam garis panduan Jabatan KPP Malaysia (atau dikenali sebagai DOSH) pula dengan jelas menyebutkan antara bentuk gangguan/keganasan/deraan di tempat kerja adalah gangguan psikologi.

Gangguan psikologi terdiri daripada kelakuan menindas melalui percubaan jenis berdendam, kejam atau jahat untuk mengaibkan atau merosakkan imej/kedudukan/martabat seseorang pekerja termasuk dengan kritikan negatif yang berterusan dan tidak wajar.

Deraan melalui pembulian juga ditafsirkan sebagai kelakuan yang menyimpang daripada perilaku wajar melibatkan salah guna kekuatan fizikal atau psikologi.

Adalah dicadangkan untuk pihak DOSH meneliti semula garis panduan ini sama ada ia masih boleh berfungsi dengan baik, atau perlu wujud lebih banyak penegasan khusus untuk membendung kejadian-kejadian buli di tempat kerja.

Kepentingan KKP dalam sektor kesihatan awam

MSOSH ingin menegaskan bahawa KKP di dalam sektor kesihatan awam adalah sangat mustahak, lebih-lebih lagi di waktu negara masih lagi berhadapan dengan ancaman wabak dan krisis kesihatan.

Keletihan petugas kesihatan, terutama doktor muda yang hangat diperkatakan kini sehingga wujud ancaman bunuh diri bukan sahaja membahayakan diri mereka, tetapi lebih malang jika ia mampu mewujudkan kesalahan (error) di dalam menjalankan tugas mereka sebagai perawat yang sedang merawat pesakit.

Kualiti perkhidmatan kesihatan akan merosot dan sekaligus memberi kesan kepada keyakinan rakyat kepada penyampaian perkhidmatan sektor awam jika tidak ditangani dengan segera.

Petugas kesihatan akan kehilangan moral untuk bekerja dan menjejaskan sistem penyampaian kesihatan kita. Kesan limpahan ini sangat serius jika kita masih berlengah untuk “overhaul” KKP di dalam sektor kesihatan awam.

Kertas Putih KKM perlu penekanan elemen KKP

Tidak lama lagi, pihak KKM akan membentangkan Kertas Putih di Parlimen bagi menambah baik perkhidmatan KKM kepada pelanggan, skop tugasan dan kebajikan warga KKM, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, dokumen ini dibangunkan agar segala saranan serta reformasi kesihatan yang dirancang kalis masa depan walaupun pentadbiran kerajaan bertukar.

Sekiranya pihak KKM serius untuk sekurang-kurangnya mengekalkan kualiti perkhidmatan petugas kesihatan awam, elemen kebajikan serta KKP pekerja perlu diteliti dan dimasukkan di dalam kertas putih berkenaan.

Keutamaan terhadap Pengenalan, Penilaian dan Kawalan Risiko atau Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control (HIRARC) mesti diberikan kepada golongan doktor baharu disebabkan penilaian HIRARC kepada golongan ini telah melibatkan risiko kehilangan nyawa melalui pemikiran bunuh diri (suicidal thoughts).

Sekiranya cadangan ini diambil kira, kertas putih yang bakal dibentangkan mampu membuka jalan ke arah penyelesaian yang lebih jitu kepada permasalahan ini.

Peranan pakar dan pemain industri KKP

Di Malaysia, kita mempunyai pelbagai pakar baik individu mahupun organisasi terlatih di dalam sektor KKP termasuk MSOSH yang telah bertapak lebih daripada 50 tahun di dalam negara.

Pihak kerajaan khususnya KKM boleh menggembleng tenaga bersama persatuan-persatuan ini bagi mencari titik penyelesaian untuk membantu bidang kesihatan awam kita.

Organisasi seperti MSOSH berupaya dalam menyalurkan khidmat penyiasatan bebas secara percuma.

Antara kepakaran yang boleh disalurkan adalah “root cause analysis” untuk penyiasatan insiden-insiden terbabit, dan kemudian membuat syor-syor langkah kawalan bersesuaian untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang dengan mengambil kira batas-batas dalam aspek perundangan.

MSOSH mengucapkan takziah kepada keluarga petugas hospital yang menjadi mangsa buli di tempat kerja dan berharap siasatan penuh dan menyeluruh, dengan mengambil kira insiden-insiden lalu dapat turun dimasukkan ke dalam penyiasatan dan pelaporan Independent Task Force yang bakal ditubuhkan nanti.

MSOSH juga menyeru agar pelaporan ini dikongsikan secara terbuka kepada orang ramai, ataupun setidak-tidaknya ahli di dalam bidang KKP dan kesihatan awam agar ianya lebih telus dan tidak berat sebelah demi memastikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap sistem kesihatan kita.


DR SHAWALUDIN HUSIN merupakan presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH).

Tulisan ini tidak semstinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.