Skip to main
Logo Malaysiakini

Lagi pembantu rumah Indonesia dakwa tak dibayar gaji

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang pembantu rumah warga Indonesia menuntut gaji yang tidak dibayar berjumlah RM114,000 di Mahkamah Buruh Kuala Lumpur hari ini.

Nani (bukan nama sebenar) mula bekerja di Malaysia sejak 17 tahun lalu dan mendakwa gajinya tidak dibayar selama 12 tahun.

Malah dia juga mendakwa dilarang untuk pulang ke Indonesia oleh majikannya.

Sebaliknya kata Nani, majikannya pernah menawarkan untuk menempah tanah pengebumiannya di negara ini.

“Saya beritahu mereka, walau apa pun yang berlaku kepada saya, saya mahu dihantar pulang. Tolong hantar saya pulang,” ujar ibu kepada dua anak dari Nusa Tenggara Timur, Indonesia itu.

Nani mendakwa majikannya juga melarang dia membuat sebarang bentuk komunikasi dengan dunia luar.

Apabila dia akhirnya dapat membuat panggilan video dengan keluarganya, Nani dimaklumkan bahawa keluarganya menyangka dia telah meninggal dunia.

“Mereka telah menganggap saya sebagai arwah dan keluarkan nama saya daripada Kartu Keluarga (Kad Keluarga).

"Mereka semua terkejut mendengar berita saya," kata wanita berusia 47 tahun itu, yang kini merupakan nenek kepada tiga orang anak.

Tuntut RM116,000

Kad Keluarga Indonesia menyimpan rekod setiap ahli keluarga dan hubungan mereka.

Malangnya, Nani hanya dapat bercakap dengan ibunya melalui panggilan video sebelum ibunya meninggal dunia pada 29 April lalu.

"Dia minta saya pulang ke rumah," kata Nani apabila ditanya mengenai perbualan terakhirnya dengan ibunya.

Tahun lalu, Perunding Tenaganita Abdul Aziz Ismail dimaklumkan mengenai keadaan Nani oleh jiran yang mengambil gambar wanita itu sedang mencuci kereta majikannya pada pukul 5 pagi.

Abdul Aziz berkata jiran berkenaan mendakwa Nani menceritakan keadaannya yang tidak pernah pulang ke rumah sejak 17 tahun lalu walaupun dia merayu untuk dihantar pulang.

Katanya, Nani menjelaskan dia bekerja dengan majikannya di Bandar Sungai Long, pada minggu pertama dia tiba pada 2005.

“Selepas itu, dia dihantar bekerja di rumah kakak majikan dengan isi rumah seramai 12 orang selama 12 tahun.

“Dia juga telah membantu membersihkan tong minyak majikan yang digunakan dalam perniagaan mereka,” jelasnya.

Dia mendakwa Nani hanya keluar apabila keluarga berkenaan membawanya bersama mereka.

Abdul Aziz berkata Nani telah diselamatkan sejak empat tahun lalu di rumah menantu majikannya di Mont Kiara, selepas 12 tahun berkhidmat sebelum itu.

“Apabila diselamatkan, ketua keluarga telan berunding untuk membayar RM55,000 sebagai gaji yang belum dibayar selama empat tahun dia bekerja di sana.

“Tuntutan di mahkamah adalah sebanyak RM116,000 gaji belum dibayar selama 12 tahun dia bekerja di rumah kedua.

“Ini termasuk kerja lebih masa dan berdasarkan gaji bulanan yang bermula pada RM450 dan dinaikkan kepada RM900 dan dinaikkan semula kepada RM1,000,” jelas Abdul Aziz.

Polis sahkan tiada unsur buruh paksa

Abdul Aziz berkata majikan Nani juga seiring memperbaharui pas lawatan kerja sementara Nani setiap tahun di Jabatan Imigresen Malaysia.

Ketika dihubungi, pegawai penyiasat yang menjalankan operasi menyelamat berkata tiada siasatan jenayah dijalankan terhadap majikan berkenaan.

Mengesahkan mereka tidak menemui unsur buruh paksa, pegawai itu menjelaskan bahawa semasa usaha menyelamat, Nani berada di rumah bersendirian dengan beberapa orang

kanak-kanak yang kesemuanya berumur di bawah 12 tahun ketika ketiadaan ibu bapa mereka.

Pegawai penyiasat juga mendapati Nani gembira dapat bekerja dengan majikannya yang baru dan tiada tanda-tanda dia dikurung di dalam rumah.

Bagaimanapun, dia tidak dapat mengesahkan sama ada Nani memiliki telefon semasa operasi menyelamat.

Ketika ditemui di Mahkamah Buruh Kuala Lumpur di Menara Perkeso, Jalan Ampang, peguam Nani, Saleh Ahmad berkata kes itu ditangguhkan ke 30 Mei ini bagi membolehkan kedua-dua pihak memfailkan semua dokumentasi masing-masing dan keterangan saksi.