Steven Sim: Jangan hanya hukum polis pengiring, tapi anak VIP juga
Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim mempersoalkan apakah tindakan terhadap anak ahli parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim yang menggunakan khidmat polis pengiring.
Ia susulan kenyataan pihak polis yang menegaskan akan mengambil tindakan terhadap dua anggota yang terlibat.
"Anak ahli parlimen (MP) guna polis pengiring, PDRM kata dua anggota polis trafik sedang disiasat dan jika bersalah akan dihukum.
"Syabas PDRM ambil tindakan tegas. Tapi soalan saya, bagaimana pula dengan anak MP yang ternyata telah salah guna kuasa?" Soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu media melaporkan anak Abdul Azeez Abdul Rahim menggunakan khidmat polis pengiring dalam kejadian di Pulau Pinang.
Pengguna media sosial berkongsi klip video yang dikatakan memaparkan insiden berkenaan.
Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam kenyataan medianya sebelum ini mengesahkan kejadian tersebut.
Menurutnya satu rakaman video yang tular berdurasi 20 saat dikesan dimuat naik pemilik akaun Instagram ‘anwarazeez’.
"Rakaman video yang memaparkan seorang lelaki memandu sebuah kenderaan dan diiringi dua anggota polis trafik menggunakan motosikal milik PDRM, di jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang.
"Pihak PDRM Kontinjen Pulau Pinang mengesahkan berkenaan kejadian yang berlaku. Satu kertas siasatan tatatertib telah dibuka dan siasatan terperinci akan dilakukan ke atas kedua-dua anggota yang terlibat.
"Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku berkenaan," jelasnya.
Penjelasan pada parlimen Mac lalu
Sementara itu Steven menegaskan pihak kementerian melalui jawapan di parlimen pada Mac lalu telah memberi penjelasan bahawa anak ahli parlimen tidak termasuk dalam senarai mereka yang layak menggunakan khidmat polis pengiring.
Justeru tegasnya, jangan hanya anggota polis yang dihukum sebaliknya turut dikenakan kepada anak golongan kenamaan terbabit.
"Kalau ikut jawapan parlimen kepada saya pada Mac 2022, anak ahli parlimen tidak termasuk dalam senarai yang layak dapat perkhidmatan outrider polis.
"Jangan hanya hukum anggota polis, ini kena hukum sekali geng VVIP dan anak-pinak sanak saudara mereka yang buat semacam mereka ni raja.
"Akhir sekali, bagi saya, selain raja-raja, semua orang politik yang lain tak perlu guna polis pengiring. Tak kira parti mana pun, jangan bazir tenaga kerja PDRM," tegasnya yang juga setiausaha organisasi DAP.
Steven dalam hantarannya itu turut mendedahkan jawapan di parlimen berhubung prosedur operasi standard (SOP) khidmat polis pengiring.
Mengikut jawapan tersebut, antara pihak yang layak mendapat khidmat tersebut adalah kerabat istana seperti di-Pertuan agong dan permaisuri agong, sultan dan sultanah, tengku mahkota, yang di-Pertua negeri.
Selain itu khidmat tersebut juga layak bagi perdana menteri dan isteri, timbalan perdana menteri dan isteri serta menteri-menteri kabinet.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai