MMA terima 36 aduan kes buli dari doktor sejak 2017
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menerima lebih 120 kes melalui talian aduannya HelpDoc dan daripada jumlah itu, 36 adalah kes buli.
Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata HelpDoc yang dilancarkan pada 2017 adalah untuk memberi bantuan kepada pengamal perubatan dalam melaporkan kes buli tanpa rasa takut dicela dan menggalakkan mereka yang berada dalam bidang perubatan untuk menggunakan talian aduan itu tanpa rasa bimbang.
Ia juga menyedari hakikat bahawa kes buli mungkin tidak pernah dilaporkan kerana pengadu khuatir dikenakan hukuman selanjutnya.
“HelpDoc diwujudkan untuk doktor yang menghadapi masalah di tempat kerja dan mereka tidak perlu takut kerana sebarang laporan dibuat di luar talian dan kami akan melakukan susulan dengan doktor terbabit untuk menyelesaikan kes itu,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, Dr Koh mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah membuat penilaian terhadap ‘pembuli’ kerana sesuatu kejadian itu berlaku ada penyebabnya.
Dia juga berkata sumber tekanan seperti kata-kata kasar, junior yang berulang kali melakukan kesilapan atau berpotensi menyebabkan kemudaratan kepada pesakit mungkin menjadi antara faktor penyumbang mengapa ‘buli’ berlaku.
Dr Koh mengulangi bekerja dalam bidang perubatan menghadapi banyak tekanan dan sehubungan itu, bantuan disediakan di pelbagai hospital sebagai unit khusus untuk mendapatkan khidmat kaunselor profesional dan pakar psikiatri.
“Kami juga mempunyai unit pengurusan tekanan untuk doktor yang terdapat di hospital, mempunyai kaunselor dan pakar psikiatri iaitu mereka boleh pergi dapatkan bantuan sekiranya mempunyai masalah.
“Unit-unit ini menyediakan khidmat secara berkala dengan doktor dan mereka boleh mendapatkan khidmat kaunselor sendiri jika mereka rasa tertekan,” tambahnya.
Dia juga berkata Kementerian Kesihatan perlu meneliti semua faktor penyumbang dalam menangani isu yang dihadapi oleh doktor muda ketika menjalani housemanship dan juga kebajikan doktor dalam sistem penjagaan kesihatan awam.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai