Teresa Kok dakwa Jamal langgar Akta Rahsia Rasmi
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos yang didakwannya mengongsikan dokumen yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai, yang memberitahu pemberita hari ini bahawa kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 OSA.
Seksyen tersebut berkaitan menyampaikan rahsia rasmi secara salah. Sabit kesalahan membawa hukuman penjara antara setahun hingga tujuh tahun.
Jamal didakwa menghantar dokumen yang dilindungi itu ke mahkamah menjelang perbicaraan kes saman fitnah bernilai RM1 juta yang difailkan Kok terhadapnya berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Dalam laporan polis Kok yang dibuat Kok pada 7 Mei lalu, dia antara lain mendakwa Jamal telah mengemukakan minit mesyuarat berkaitan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) 2016, laporan buku tunai, penyata penyesuaian bank di pejabat daerah dan mesyuarat penyelarasan sistem SMUE.
Dia mendakwa perbendaharaan kerajaan Selangor telah mengesahkan bahawa dokumen itu dilindungi di bawah OSA.
Bagaimanapun sebelum Kok memberi keterangan kepada polis, dia telah menerima emel dari pihak polis pada 7 Mei yang menyatakan siasatan awal mengklasifikasikan kes tersebut sebagai "tiada tindakan lanjut (NFA)".
Menurut emel yang dilihat Malaysiakini itu, tiada petunjuk yang membolehkan siasatan untuk kes itu.
Ia mencetuskan bantahan Kok yang memberitahu pemberita hari ini bahawa dia tidak berpuas hati dengan perkara itu.
"Polis patut dapatkan maklumat lanjut daripada saya tapi sebelum berbuat demikian, mereka (klasifikasikan) sebagai NFA," katanya.
Beh kemudian menjelaskan bahawa klasifikasi NFA itu adalah prosedur standard dan "sementara".
"Polis perlu klasifikasikan kes dalam sistem dalam tempoh 24 jam. Kita akan klasifikasikan semula kes selepas merakam keterangan saksi-saksi," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai